Nelayan ditemukan lemas selepas keluar menjala udang
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Ogos 20, 2024 @ 7:07pm [email protected]
Mayat nelayan yang ditemukan lemas selepas menjala udang hilang di Kampung Seberang Tandop, Kuala Sala. NSTP/Ihsan Bomba
YAN: Mayat nelayan yang hilang selepas menjala udang di Kampung Seberang Tandop, Kuala Sala, di sini semalam ditemui lemas, hari ini.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata mayat Ahmad Hashim, 71, yang berasal dari kampung berdekatan lokasi kejadian ditemui pasukan mencari dan penyelamat (SAR), pada jam 3.45 petang tadi.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui pada jarak 1.6 kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh dan tersangkut di pokok hutan di tebing Sungai Kuala Sala oleh pasukan SAR dan orang awam.
"Kita terpaksa menggunakan bot kecil untuk membawa keluar mayat mangsa kerana lokasi penemuan agak sempit dan tidak boleh dilalui.
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Yan untuk proses pengecaman oleh waris sebelum bedah siasat dilakukan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Shahnaz berkata, operasi SAR dilakukan membabitkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Yan serta Alor Setar.
Mangsa adalah bapa kepada lapan anak dan tinggal berdekatan lokasi kejadian dikatakan sering menjala udang dan ikan di sepanjang Sungai Kuala Sala sebagai hobi.
Media hari ini melaporkan Ahmad dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika menjala udang di Kampung Seberang Tandop, Kuala Sala dalam kejadian semalam.
Kejadian disedari oleh nelayan yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian yang melihat mangsa terjatuh sebelum hilang dan bertindak membuat laporan polis sejurus selepas itu.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/08/1287569/nelayan-ditemukan-lemas-selepas-keluar-menjala-udang
|