CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 10272|Reply: 0

[Kedah] Datuk sangka anak patung terapung rupanya jasad cucu lemas

[Copy link]
Post time 20-9-2024 01:17 PM | Show all posts |Read mode
Datuk sangka anak patung terapung rupanya jasad cucu lemas


Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 20, 2024 @ 12:57pm [email protected]







Yahmin Sairin, 70, menunjukkan paras air longkang tempat kanak-kanak berusia 2 tahun yang ditemukan lemas di Lorong Seri, Jalan Langgar malam tadi. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli





ALOR SETAR: "Mulanya saya nampak benda terapung, ingatkan anak patung, rupanya cucu saya.

"Saya angkat cucu ke tepi longkang dan cuba memanggil namanya berulang kali tetapi tiada tindak balas... wajahnya pucat dan bibirnya sudah kebiruan," kata Mohd Hamidan Hashim, 38.

Mohd Hamidan, datuk kepada kanak-kanak perempuan, Nur Aisha Misya Afifah Abdul Fattah, 2, yang ditemukan lemas dalam longkang di kawasan kampung berhampiran rumahnya di Lorong Seri, Jalan Langgar di sini malam tadi.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di tempat kerjanya berhampiran Stadium Darulaman sebelum dihubungi anak sulungnya yang juga ibu mangsa, Siti Nurfarhana Abdullah, 18, yang memaklumkan anaknya hilang dipercayai terjatuh dalam longkang.

Katanya, ketika kejadian, kawasan kampung itu dinaiki air disebabkan limpahan air Sungai Kedah selain air pasang besar yang berlaku kira-kira jam 3 petang semalam.

"Saya terima panggilan daripada anak kira-kira jam 4.30 petang sebelum terus ke lokasi untuk mencarinya di sekeliling kawasan itu tetapi tidak jumpa kerana air sangat dalam ketika itu.

"Dengan bantuan penduduk kampung, ada yang cuba menyelam mencarinya tetapi tak jumpa sebelum jasad cucu saya timbul kira-kira jam 8 malam tadi," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Mohd Hamidan berkata, cucu keduanya itu seorang yang aktif dan sangat rapat dengannya dan memanggilnya dengan panggilan abah.

Katanya, ketika menerima panggilan telefon anaknya, dia tidak sedap hati apabila dimaklumkan cucunya hilang.

"Kawasan ini tak pernah banjir pun, tetapi semalam bila air pasang berlaku dan bertembung dengan limpahan air sungai menyebabkan banjir kilat berlaku sehingga menenggelamkan longkang ini.

"Namun saya redha dengan pemergian cucu walaupun sehari sebelum kejadian dia menunjukkan perubahan sikap tidak mahu makan dan mendiamkan diri," katanya.

Sementara itu, penduduk kampung, Yahmin Sairin, 70, berkata, dia ternampak orang ramai mengerumuni kawasan itu pada jam 6 petang sebelum dimaklumkan ada kanak-kanak terjatuh.

Katanya, dia cuba menjolok longkang itu dengan kayu untuk mencari mangsa disebabkan kedalaman longkang itu lebih dua meter.

"Masa tu arus longkang sangat deras dan saya turun berenang dalam longkang itu tetapi tak jumpa sebelum dimaklumkan penemuan mayat kanak-kanak itu sekitar jam 8 malam.

"Longkang ini saya yang bina kira-kira 12 tahun lalu dan sebab itulah saya tahu kedalaman longkang ini tetapi tak sangka banjir yang berlaku semalam agak dalam," katanya.

Siti Nurfarhana berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dalam rumah kira-kira 30 meter dari longkang berkenaan.

Katanya, pada mulanya dia menyangka anak bongsu daripada dua beradik itu pergi ke rumah nenek mereka tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Anak sulung yang juga abang mangsa berusia tiga tahun ketika itu ada dalam rumah dan saya tak sedap hati dan terus menghubungi ayah sebelum keluar mencari anak.

"Tidak lama kemudian, ada orang kampung beritahu anak saya jatuh longkang yang ketika itu dinaiki air sungai yang melimpah," katanya.

Jasad kanak-kanak itu dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk tindakan lanjut dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Irfan, Derga, Jalan Langgar di sini petang ini.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/09/1300733/datuk-sangka-anak-patung-terapung-rupanya-jasad-cucu-lemas






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-11-2024 07:04 AM GMT+8 , Processed in 0.234233 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list