Georgetown: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil buat pertama kali tampil menyangkal beliau mempunyai kaitan dengan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkongsi beliau mempunyai seorang abang yang bekerja dalam syarikat membabitkan penghasilan bahan kimia dan seorang adik yang berkecimpung dalam industri seni sebagai pemuzik.
"Adik saya seorang pemuzik dan dia tidak pernah dapat satu sen pun (dana) di bawah program berkaitan Kementerian, saya tidak akan membenarkan," katanya ketika berucap pada pada Program Sembang Santai Komuniti Madani Pulau Pinang di sini, hari ini.
Fahmi ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata, beliau juga tidak mempunyai pertalian saudara atau hubungan dengan Anuar Fariz dan hanya mempunyai persamaan ejaan nama bapa.
Beliau turut berharap, perkara itu dapat menjadi pengajaran kepada semua selain mengingatkan masyarakat supaya berwaspada dengan sebarang maklumat yang diterima mereka.
"Nama bapa saja sama. Sepupu pun bukan, bau-bau bacang pun tiada. Ayah lain, mak lain. Saya tak ada kaitan dengan pelantikan itu.
"Jadi semua yang cuba membuat fitnah, saya harap mereka sedarlah. Jangan terlalu mudah untuk menabur fitnah," katanya.
Khamis lalu, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menerusi laman Facebook bertanya sama ada Anuar Fadzil adalah adik kepada Fahmi.
Namun, beliau mengemas kini hantaran tersebut dalam satu tulisan bertajuk Ralat Adik Fahmi Fadzil dan menyatakan tidak membuat tuduhan atau fitnah terhadap kedua-dua individu terbabit.