CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 44673|Reply: 0

[Pulau Pinang] Pantai popular lihat 'sunset' kini dipenuhi lumpur berselut, berbau busuk

[Copy link]
Post time 20-10-2024 10:32 AM | Show all posts |Read mode
Pantai popular lihat 'sunset' kini dipenuhi lumpur berselut, berbau busuk

Oleh Zuhainy Zulkiffli - Oktober 20, 2024 @ 9:51am [email protected]




Kawasan Pantai Esen yang indah kini dicemari lumpur berselut dengan bau busuk menusuk hidung. NSTP/ FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI





BAYAN LEPAS: Kawasan Pantai Esen yang menjadi tumpuan orang ramai dan kaki lensa melihat keindahan matahari terbenam di negeri ini, kini dicemari lumpur berselut dan berbau busuk, selain air pantai bertukar kehitaman.

Keadaan itu dipercayai ada kaitan dengan pembangunan projek Pulau Silikon yang terletak tidak jauh dari kawasan pantai dan ia semakin buruk dengan bau yang menusuk hidung sejak dua bulan lalu.

Pemandangan indah di pantai itu boleh dilihat sebaik tiba, namun bau busuk dapat dihidu pada jarak 100 meter dari kawasan pantai.

Berikutan air yang bertukar kehitaman, berlumpur dan berkeladak, tiada pengunjung bermain air atau mandi di kawasan terbabit.

Pengusaha sukan air, Jaffar Ishak, 55, berkata sebelum ini Pantai Esen umpama lokasi 'permata tersembunyi' negeri dan pemandangannya sering diabadikan oleh peminat fotografi termasuk dijadikan gambar poskad.

Beliau berkata, keindahan pantai dan pasir yang bersih turut menjadi lokasi perkelahan keluarga, selain melakukan sukan air seperti berkayak atau menaiki bot.

Katanya, selain menawarkan aktiviti kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), pantai itu sebelum ini sering menjadi lokasi 'wajib singgah' kepada pendaki selepas melakukan pendakian di kawasan bukit berhampiran.

"Pada hujung minggu, pantai ini menjadi tumpuan orang ramai kerana pemandangan di sini sangat cantik terutama ketika matahari terbenam, hingga menyebabkan kesesakan tetapi kini ada yang tidak sampai setengah jam sudah pulang kerana tidak tahan dengan bau lumpur yang menyengat.

"Kami juga dimarahi pengunjung kerana tidak diberitahu lebih awal mengenai keadaan itu sebelum mereka menaiki buggy yang disewa dan mendakwa seolah ditipu apabila keadaannya tidak sama seperti dipaparkan dalam media sosial sebelum ini," katanya yang sudah dua tahun mengusahakan sukan air di pantai itu.

Tinjauan mendapati, mereka yang mahu ke kawasan pantai berkenaan, boleh berjalan kaki sejauh hampir satu kilometer atau menaiki perkhidmatan kereta 'buggy' inisiatif penduduk kampung dengan bayaran RM5 sehala.

Jaffar berkata, dia tidak mahu menuding jari menuduh pihak tertentu menjadi punca kawasan pantai itu berlumpur, tetapi mahu pihak berkuasa mengambil tindakan supaya keadaan tidak menjadi bertambah buruk.

"Saya tidak tahu puncanya kerana saya bukan ahli dalam bidang ini, namun sejak ia berlaku, pendapatan sebagai pengusaha sukan air merosot sehingga 70 peratus.

"Berikutan lumpur, kayak dan bot juga sukar diturunkan, selain terlalu kotor serta perlu lebih cucian selepas digunakan," katanya.

Sementara itu, penduduk Jaffar Pajim, 66, berkata dia kesal dengan pihak pemaju projek yang dikatakan hanya berunding dengan nelayan tetapi tidak dengan penduduk.

Katanya, penduduk berhampiran kini tidak lagi dapat meraih pendapatan sampingan dengan menangkap ikan dan siput sudu di kawasan itu kerana sering ditemukan mati serta semakin berkurangan.

"Pemaju tidak pernah berbincang dengan penduduk kampung kerana kami yang terpaksa menghidu baunya setiap hari.

"Sejak kecil kami hirup udara segar, tetapi hari ini baunya meloyakan, malah kesannya juga semakin buruk dan sangat menyedihkan.

"Kami berharap masalah ini dapat ditangani segera sebelum kesan lain pula berlaku," katanya.

Video mengenai lumpur dan selut itu turut tular di media sosial yang dirakamkan pada minggu lalu, memaparkan lumpur sehingga hampir lima meter di sepanjang kawasan pantai.

Difahamkan, beberapa pengusaha aktiviti di situ mengambil inisiatif membina pelantar bagi mengelak permukaan bot dan kayak menjadi rosak.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1313455/pantai-popular-lihat-sunset-kini-dipenuhi-lumpur-berselut-berbau





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 09:20 PM GMT+8 , Processed in 0.062664 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list