'Langkah segera majukan Langkawi bukti keprihatinan PM'
Oleh Hamzah Osman - Disember 31, 2024 @ 11:23am [email protected]
Dataran Lang menjadi ikon Langkawi. - Foto fail NSTP
LANGKAWI: Komitmen Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil langkah segera memacu pertumbuhan dan merancakkan industri pelancongan di pulau ini membuktikan kerajaan komited terhadap kebajikan penggiat industri pelancongan.
Pengerusi Persatuan Tuan Empunya Dan Pemandu Kereta Sewa Langkawi (PTEDPKSL), Luqman Adzahar, berkata pihaknya sangat berterima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri untuk memajukan pelancongan Langkawi.
"Pengumuman itu membuktikan kerajaan komited untuk memastikan kebajikan penggiat industri pelancongan, khususnya pemandu teksi kembali dapat menjana pendapatan selepas terjejas teruk susulan pendemik COVID-19.
"Sudah pasti PTEDPKSL sambut baik dan menyokong penuh langkah segera yang akan dilakukan Perdana Menteri dalam usaha menyemarakkan semula sektor pelancongan di pulau ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Bekas Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kedah, Ahmad Pishol Ishak, menyifatkan pengumuman Anwar sebagai langkah tepat untuk membantu penduduk Langkawi dengan 90 peratus daripadanya terbabit dalam industri pelancongan.
"Kenyataan itu jelas menunjukkan komitmen bersunguh-sungguh Perdana Menteri untuk segera menamatkan 'kemarau panjang' sektor pelancongan di pulau ini yang masih tercari-cari formula terbaik bagi menarik pelancong.
"Cadangan Perdana Menteri mewujudkan cabang universiti di pulau ini juga dilihat mampu melonjak kemasukan pelancong, apatah lagi jika pulau ini dijadikan sebagai hab pelancongan pendidikan (Edutourism)," katanya.
Pengurus Besar Dash Resort Langkawi, Ben Irwan Samuel, berkata kenyataan Perdana Menteri itu menunjukkan sudah wujud langkah progresif dan efektif dari kerajaan untuk menyelamatkan sektor pelancongan Langkawi.
"Kita menyokong penuh langkah yang bakal diambil Perdana Menteri untuk membawa masuk ramai pelancong, kerana sektor perhotelan dan kemasukan pelancong seperti 'aur dengan tebing', kami saling memerlukan," katanya.
Ketua Cabang PKR Langkawi, Ismail Wasi Ahmad Shafawi, berkata kenyataan Perdana Menteri itu jelas mahukan sektor pelancongan kembali cemerlang, sekali gus memberikan manfaat kepada ekonomi penduduk.
"Pembukaan cabang universiti di pulau ini bukan sahaja memberi peluang pendidikan lebih baik, malah ia juga dilihat sebagai langkah membuka ruang perniagaan dan pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan," katanya.
Menerusi hantaran ringkas dalam Facebooknya, semalam, Perdana Menteri berkata, beliau akan menyegerakan beberapa projek termasuk cabang universiti yang memberikan manfaat kepada rakyat di pulau itu kelak.
Anwar telah mengadakan mesyuarat bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid yang turut disertai Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah dan Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1343058/langkah-segera-majukan-langkawi-bukti-keprihatinan-pm
|