FAM tak aniaya Perlis
Oleh Zulfaizan Mansor - Disember 31, 2024 @ 1:34pm [email protected]
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman. NSTP/ASYRAF HAMZAH
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan tindakan menggantung Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dibuat mengikut lunas perlembagaan dan proses yang ditetapkan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, setiap keputusan yang diambil bukan secara terburu-buru atau mempunyai agenda tertentu untuk menganiayai persatuan negeri.
"Kita mengambil tindakan bukan tanpa pertimbangan sewajarnya kerana ia mengikut perlembangaan persatuan dan melalui proses yang ditetapkan.
"Jika mereka (PFA) mahu ambil tindakan terpulang kepada mereka kerana apa yang kita lakukan mengikut perlembagaan," katanya.
Semalam, BH Sukan melaporkan PFA mengesahkan bahawa mereka sudah memfailkan saman terhadap FAM bagi mencabar keputusan badan induk itu yang didakwa menggantung keahlian persatuan berkenaan tanpa prosedur sah pada 4 Disember lalu.
Keputusan FAM itu dibuat semasa Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM berhubung kegagalan PFA mematuhi arahan dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk membayar gaji tertunggak dan pampasan kontrak dituntut bekas Pengarah Bola Sepak PFA, Matt Holland pada 2019.
Presiden PFA, Zamri Ibrahim dilaporkan berkata pihaknya sudah memfailkan saman berkenaan di Mahkamah Tinggi Kangar pada Jumaat lalu namun masih menunggu mahkamah mengesahkan kes berkenaan.
"Kami (PFA) sudah pun memfailkan saman ini kepada mahkamah pada Jumaat lalu dan kita masih menunggu pengesahan daripada pihak mahkamah di mana kita menjangka hari ini (Isnin) pihak mahkamah sudah pun menerima dan mengesahkan permohonan kita," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2024/12/1343127/fam-tak-aniaya-perlis
|