'Lihat kerangka besar bantu negara jadi hebat' - PM Anwar
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Januari 11, 2025 @ 2:49pm [email protected]
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Tapak Projek Bandar Sri Pinang di sini hari ini. Turut serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (dua kanan), Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (dua kiri). - NSTP/MIKAIL ONG
GEORGETOWN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat di negara ini supaya melihat kerangka besar dalam usaha menjadikan Malaysia negara hebat di rantau ini, sekali gus tidak mudah terjebak sentimen dan provokasi perkauman.
Perdana Menteri berkata, Malaysia sedang menjadi perhatian dunia, dengan empat pemimpin dari Thailand, Singapura, Indonesia dan Jepun telah melawat negara dalam tempoh tiga minggu.
"Kita kini menjadi tarikan. Dalam masa tiga minggu sahaja, kita telah menerima kunjungan presiden dan perdana menteri dari empat negara... terbaru ialah Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, yang merupakan lawatan bersejarah.
"Kami mengadakan perbincangan substantif dan komprehensif mengenai pendidikan dan peralihan tenaga.
"Dengan (Perdana Menteri) Lawrence Wong dari Singapura, kami berbincang tentang kerjasama untuk mewujudkan Zon Ekonomi Johor-Singapura. Ini akan memastikan pertumbuhan di Johor dan kawasan selatan Semenanjung.
"Apa yang saya maksudkan ialah kita perlu melihat kerangka besar untuk mengekalkan asas kita sebagai sebuah negara hebat," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang di sini, hari ini.
Perdana Menteri turut mengingatkan warga negara ini tidak terjebak kepercayaan sempit, isu perkauman selain mudah dihanyutkan isu remeh temeh.
Beliau memberi contoh berkaitan isu ketiadaan visual masjid dalam video promosi pelancongan Malaysia yang dikhuatiri menjejaskan kemakmuran negara.
"Dengan terjebak dalam kepercayaan sempit, isu perkauman dan mempertahankan perkara yang salah, semua ini tidak akan membantu negara kita.
"Jangan alihkan pandangan kepada isu-isu remeh yang tidak membantu. Negara kita mengikut hukum dalam menjaga kepentingan negara," katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata penting untuk Malaysia mengekalkan asas sebagai sebuah negara hebat dengan menjalin hubungan baik bersama negara luar seperti China, Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Asia seluruhnya.
"Jika kita mampu melakukan ini, saya percaya Malaysia akan mencipta sejarah dan terus meningkatkan kedudukannya sebagai sebuah negara hebat.
"Oleh itu, kita mahu rakyat kita menghadapi isu-isu besar ini dan tidak terpengaruh dengan sentimen perkauman yang boleh menyebabkan perpecahan.
"Inilah sebabnya kita boleh menumpukan kepada pembangunan di Pulau Pinang dan kawasan lain, Kedah, Kelantan, Sarawak, Johor, Pahang dan lain-lain yang mempunyai perancangan projek masing-masing," katanya.
Sehubungan itu, Anwar menggesa penjawat awam dan ketua jabatan termasuk pada peringkat negeri supaya bersama-sama menjadi pemikir dalam melaksanakan perubahan positif dan mencabar demi memajukan negara.
"Maksudnya bincang bersama fikir bagaimana kita boleh melaksanakan pembaharuan dan perubahan hal-hal baharu yang mencabar. Siapa sangka mengenai peralihan tenaga, transformasi digital, dan kecerdasan buatan (AI) 20 tahun lalu?
"Kita mahu ketua-ketua jabatan bukan saja sebagai pelaksana tapi memikirkan, bantu ketua menteri, menteri untuk memberikan hujah dan cadangan baharu untuk perbaiki dan bukan menggunakan keadaan dan peluang untuk mencari komisyen dan keuntungannya haram," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1347882/lihat-kerangka-besar-bantu-negara-jadi-hebat-pm-anwar
|