CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 24394|Reply: 0

[Pulau Pinang] LRT Laluan Mutiara dijadual beroperasi Disember 2031 - MRT Corp

[Copy link]
Post time 11-1-2025 04:38 PM | Show all posts |Read mode
LRT Laluan Mutiara dijadual beroperasi Disember 2031 - MRT Corp

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof -Januari 11, 2025 @ 4:22pm [email protected]






Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim. - NSTP/ MIKAIL ONG




GEORGETOWN: Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara membabitkan anggaran kos keseluruhan RM13 bilion dijangka mengambil masa kira-kira enam tahun untuk disiapkan dengan dijadual beroperasi Disember 2031.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim, berkata pihaknya akan menandatangani kontrak perjanjian dengan satu daripada tiga syarikat kontraktor utama Isnin ini bagi memulakan kerja pembinaan sivil segmen pertama projek itu.

"Segmen pertama membabitkan jajaran dari Pulau Silikon ke Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). Pada majlis itu nanti akan diumumkan kontraktor pertama yang akan menandatangani perjanjian dengan kita.

"Semuanya ada tiga kontrak yang utama dengan kontrak untuk sistem rel telah pun kita iklankan dan proses itu akan mengambil masa selama empat bulan lagi sehingga April.


"Kita harap kontraktor sistem rel itu dapat dilantik atau dianugerahkan menjelang suku ketiga tahun ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang di Bandar Sri Pinang di sini, hari ini.

Mohd Zarif berkata, rekod pencapaian MRT Corp dalam menyiapkan Laluan MRT Kajang dan Putrajaya, serta Projek RTS Link yang sedang berjalan di Johor, membekalkan pihaknya pengetahuan dan kemahiran cemerlang dalam menguruskan projek infrastruktur berskala besar.

Mengenai pengambilalihan tanah di Tapak Pesta Sungai Nibong, Mohd Zarif menjelaskan pihaknya mengambil serius hasrat Perdana Menteri untuk memelihara nilai sentimental kawasan itu yang begitu sinonim dengan rakyat Pulau Pinang.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan bersama kerajaan negeri memandangkan terdapat perancangan untuk membangunkan tapak tersebut bagi melaksanakan Projek Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) dan tanah dicadang untuk diambil alih MRT Corp hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan kawasan berkeluasan kira-kira 42 ekar bagi pembinaan depoh.

"Selebihnya, ada perancangan oleh kerajaan negeri untuk membangunkan tapak tersebut sebagai tapak TOD, maknanya TOD tidak dibangunkan bersama dengan infrastruktur rel, ia akan menyebabkan kesulitan pada masa hadapan " katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Zarif memaklumkan perbincangan akan dibuat bersama Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) berhubung cadangan jambatan yang akan dibina untuk jajaran rel ke Penang Sentral.

"Jambatan ini tidak sama dengan jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang kerana kita nak membolehkan kapal-kapal besar melalui kawasan itu.

"Disebabkan reka bentuknya lebih tinggi, ia memerlukan masa untuk bincang dengan SPPP dan tidak lupa juga kita ada paip air di dasar (laut), itu juga perlu diambil kira. Apapun reka bentuk itu kita cuba selesaikan menjelang Julai tahun depan," tambahnya.

LRT Laluan Mutiara merangkumi 21 stesen di lokasi-lokasi yang strategik, termasuk satu stesen provisional di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang atau Penang South Reclamation Island-A (PSR-A), meliputi jajaran sepanjang 29.5 kilometer (km)

Penyelarasan bermula dari PSR-A dengan dua laluan, satu menuju ke KOMTAR dan satu lagi ke Penang Sentral. Kedua-dua laluan ini akan berfungsi secara serentak dengan kereta api berjalan secara bergilir, memastikan pengangkutan yang lancar dan cekap untuk semua pengguna.

MRT Corp turut berkongsi pakej pertama melibatkan pakej pertama pembinaan utama sivil adalah dari PSR-A ke KOMTAR dengan perjanjanjian akan ditandangani Isnin ini antara MRT Corp dan SRS Consortium.

Sementara pakej kedua pembinaan utama sivil dari stesen Macallum ke Penang Sentral sedang melalui proses penyediaan tender dengan pembukaan tender dijangka pada Julai tahun ini.

Bagi pakej ketiga meliputi kontrak sistem turnkey, pendaftaran tender telah dibuka pada 12 Disember lalu dan tarikh akhir penghantaran tender ialah pada 14 April 2025.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1347919/lrt-laluan-mutiara-dijadual-beroperasi-disember-2031-mrt-corp





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

3-2-2025 07:00 PM GMT+8 , Processed in 0.254273 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list