Datuk M Kumar
Johor Bahru : Mercun dan bunga api lebih setengah juta ringgit dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua (W2) Johor dalam dua serbuan berasingan di Muar dan Mersing, kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan dibuat menerusi Op Taring Landai Khas yang dilancarkan sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama, 4.30 petang kelmarin, sepasukan polis dari Unit Risik Markas Operasi PPM W2 Muar dibantu Pasukan Siasatan Khas Jabatan KDNKA PDRM melakukan serbuan di Kawasan Perindustrian Parit Hulu, Jalan Bakri, Muar.
"Hasil pemeriksaan dengan disaksikan penjaga premis iaitu seorang lelaki warga tempatan, menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api iaitu 319 kotak yang dianggarkan bernilai RM503,665.
"Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kerana gagal mengemukakan lesen sah berhubung pemilikan bahan letupan dan barang kes itu," katanya menerusi kenyataan media, malam tadi.
Sementara itu, beliau berkata, serbuan kedua pada 10.30 malam kelmarin, ketika sepasukan polis dari Markas Taktikal PPM W2 Mersing menjalankan tugas pemantauan sebelum mengesan pergerakan sebuah Toyota Vios berwarna putih dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pasukan menahan kereta yang dipandu seorang lelaki warga tempatan itu di kawasan Taman Desa Sri Endau, Mersing itu, sebelum hasil pemeriksaan ke atas kereta itu menjumpai pelbagai jenis mercun serta bunga api yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang dan but kereta.
"Lelaki berusia 24 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan lesen sah berhubung pemilikan bahan letupan dan barang kes dirampas untuk siasatan lanjut.
"Ketika proses dokumentasi di Pejabat Markas Taktikal PPM W2 Mersing, tangkapan beberapa kali cuba memberikan wang suapan berjumlah RM2,500 kepada pasukan operasi bagi mengelakkan daripada diambil tindakan undang-undang, walaupun amaran diberikan," katanya.
Menurut Kumar, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan, manakala suspek yang turut ditahan akibat cuba memberi sogokan kepada polis akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.
Disiarkan pada: Januari 23, 2025
|