Edited by maklukpenggoda at 27-1-2025 03:27 AM
KUALA LUMPUR: Lebih 200 orang hadir pada Himpunan Anti Rasuah (semalam) yang berarak dari pusat beli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), di sini bermula jam 2 petang ke Dataran Merdeka.
Pada masa ini, peserta himpunan didapati mula berarak menuju ke arah Dataran Merdeka, melalui Jalan TAR, di sini.
Mereka turut membawa pelbagai sepanduk bertulis Tolak Rasuah, Hapuskan Rasuah dan Apa Khabar Reformasi serta melaungkan Hidup Mahasiswa dan Anak Muda.
Peserta perhimpunan turut diawasi oleh pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Setakat ini tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku.
Terdahulu, tinjauan BH mendapati kawasan hadapan pusat beli-belah Sogo dan perkarangan Dataran Merdeka yang menjadi lokasi Himpunan Anti Rasuah ditutup sejak sekitar tengah hari tadi dan dikawal oleh anggota polis.
Kawasan berkenaan ditutup menggunakan pita dan pagar besi bagi mengelak ia dimasuki peserta himpunan.
Situasi di lapangan pula masih terkawal meskipun orang ramai mula membanjiri kompleks beli-belah berkenaan pada hujung minggu.
Meskipun kawasan sekitar ditutup, namun pelancong atau orang ramai masih dibenarkan untuk memasuki lokasi berkenaan.
BH
|