View: 34932|Reply: 1
|
[Tempatan]
Tamatkan perkhidmatan CFO, Maybank digesa beri penjelasan menyeluruh
[Copy link]
|
|
Tamatkan perkhidmatan CFO, Maybank digesa beri penjelasan menyeluruh
Oleh Alzahrin Alias - Februari 19, 2025 @ 5:16pm
Khalijah Ismail - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
KUALA LUMPUR: Penamatan perkhidmatan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO) Malayan Banking Bhd (Maybank), Khalijah Ismail berkuat kuasa serta-merta pada Isnin lalu menimbulkan kebimbangan mengenai piawaian tadbir urus.
Pelbagai spekulasi berlaku mengenai tadbir urusnya sehingga menjejaskan saham bank terbesar Malaysia berdasarkan aset itu di Bursa Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG), Dr Ismet Yusoff, berkata Maybank perlu memberikan penjelasan lebih menyeluruh bagi mengelakkan spekulasi berpanjangan yang boleh menjejaskan saham kumpulan perbankan itu.
"Kami menggesa pihak bank untuk memberikan maklumat yang lebih jelas secara umum berkenaan tindakan yang diambil terhadap bekas CFO.
"Penjelasan berkenaan isu ini dapat mengelakkan spekulasi dan memastikan keyakinan pelabur tidak terjejas," katanya kepada BH.
Penganalisis korporat, Prof Adjung Faisal Malik, berkata apabila sebuah institusi kewangan terkemuka menghadapi isu tadbir urus, ia menimbulkan keraguan yang ketara terhadap keupayaan bank untuk mengurus operasinya secara bertanggungjawab.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Faisal Malik & Co berkata, isu tadbir urus yang dimaksudkan adalah seperti kebimbangan terhadap kawalan dalaman, pelanggaran etika atau ketidakpatuhan terhadap peraturan.
Katanya, denda kawal selia yang dikenakan oleh pihak berkuasa, seperti Bank Negara Malaysia (BNM) mengukuhkan lagi kebimbangan itu kerana ia menunjukkan bahawa bank sama ada gagal mematuhi piawaian industri atau cuai dalam memenuhi kewajipan pematuhan.
Menurutnya, apabila isu sedemikian diperburukkan dengan ketidakstabilan kepimpinan seperti peletakan jawatan secara tiba-tiba seorang eksekutif utama, terutamanya CFO yang bertanggungjawab terhadap integriti kewangan dan pengurusan risiko, ia menandakan kelemahan struktur yang lebih mendalam dalam organisasi.
"Kejadian sebegini membangkitkan kebimbangan dalam kalangan pelanggan, pelabur dan masyarakat umum mengenai kestabilan kewangan bank, amalan tadbir urus, serta kebolehpercayaan jangka panjangnya.
"Pengguna mungkin mula meragui keselamatan deposit, keupayaan bank untuk terus menyediakan perkhidmatan kewangan tanpa gangguan dan perlindungan data peribadi mereka," katanya.
Mengulas lanjut, Faisal berkata, pelabur juga mungkin melihat insiden itu sebagai petanda negatif, yang boleh menyebabkan ketidaktentuan harga saham serta keyakinan yang semakin merosot terhadap prospek pertumbuhan bank.
Beliau berkata, apabila reputasi sesebuah bank terjejas akibat kegagalan tadbir urus, penalti kewangan dan ketiadaan eksekutif utama, kepercayaan awam akan terhakis.
"Pelanggan yang sebelum ini melihat institusi tersebut sebagai tonggak kestabilan mungkin mula mencari alternatif, sementara pesaing akan mengambil kesempatan untuk menarik pelanggan yang kecewa.
"Jika isu ini tidak ditangani dengan baik, ia boleh membawa kepada kehilangan bahagian pasaran, peningkatan pengawasan kawal selia, serta kerosakan jangka panjang terhadap reputasi bank," katanya.
Sementara itu, penganalisis CIMB Securities, Rachel Huang, berkata penamatan perkhidmatan CFO Maybank itu adalah hasil daripada siasatan dalaman yang dijalankan mengikut proses sewajarnya.
Beliau berkata, Maybank menegaskan bahawa siasatan dalaman dijalankan mengikut proses yang sewajarnya dan dimulakan akibat ketidakpatuhan terhadap proses dalaman kumpulan.
Katanya, menurut Maybank, Khalijah telah diberi peluang untuk membela diri, dan setelah siasatan selesai, bank itu mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatannya.
"Berkenaan isu itu, Maybank menyatakan bahawa tiada sebarang pengubahan dalam akaun, yang bermaksud tiada isu berkaitan dengan penyata kewangannya.
"Maybank juga tidak menjangkakan sebarang penalti kawal selia atau kerugian kewangan kepada kumpulan, kecuali kemungkinan saman yang mungkin difailkan oleh Khalijah," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Penganalisis CGS International, Winson Ng pula berkata, isu pemecatan itu adalah kes terpencil dan tidak akan memberi kesan material terhadap operasi serta prospek pendapatan Maybank.
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
Yg menggantikan beliau siapa nk tau tu jer |
|
|
|
|
|
|
| |
|