CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 211|Reply: 0

Wuduk atas balutan luka sah

[Copy link]
Post time 27-9-2011 09:05 AM | Show all posts |Read mode
Pesakit harus sapu air pada tampalan, tak perlu dibukaWUDUK ialah syarat sah dalam solat. Namun, ada ketikanya manusia tidak dapat menyempurnakan wuduk disebabkan halangan tertentu antaranya sakit dan terpaksa memakai balutan yang menghalang air sampai ke anggota diwajibkan ketika berwuduk.\rDalam fiqh Islam, balutan atau tampalan yang diletakkan di atas tulang yang patah supaya ia bersambung kembali dipanggil al-jabirah, manakala kain ataupun seumpamanya yang digunakan bagi membalut luka dan ditampal dengan kuat supaya luka boleh sembuh dinamakan al-ishabah.\r\n\n\n\n\rApabila berlaku keadaan pesakit terpaksa menggunakan al-jabirah dan al-ishabah terhadap anggota wuduk, maka tatacara bersuci sama ada wuduk dan mandi junub berubah kerana telah menghalang air dari terkena anggota wuduk. \r\r\n\n\n\n\nMemandangkan membuka balutan memudaratkan pesakit, maka beberapa kaedah menyapu di atas jabirah dan ishabah sudah digariskan ulama.\rPendapat pertama kalangan Muqabil al-Azhar dalam Mazhab Syafie, Hanafiyah, Malikiyah, dan Hambali berpendapat hukum menyapu air ke atas jabirah adalah wajib. Ia perlu membasuh anggota wuduk yang sihat dan hanya menyapu pada jabirahnya.\rIbn Umar berkata, siapa yang mendapat luka dan dibalut, maka hendaklah dibasuh anggota di luar balutan dan diusap saja balutan itu. Riwayat ini dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam al-Musanif. Namun, majoriti ulama mengambil panduan asas isu ini berdasarkan hadis Jabir.\rJabir meriwayatkan: Kami telah keluar bermusafir. Tiba-tiba salah seorang lelaki yang bersama kami tertimpa batu lalu kepalanya luka. Kemudian dia bermimpi basah (ketika tidur). Lalu dia bertanya kawan-kawannya: Adakah kamu berpendapat terdapat rukhsah untuk aku bertayammum? Kawannya menjawab: Kami dapati tiada keringanan untuk kamu bertayamum disebabkan kamu mampu memperoleh air. Lalu lelaki itu mandi dan kemudian mati (akibat mandi). Ketika kami sampai kepada Rasulullah dan menceritakan hal itu, berkatalah Nabi: Mereka membunuhnya. Semoga Allah memerangi mereka. Mengapa mereka tidak bertanya apabila tidak mengetahui? Sesungguhnya ubat kebodohan itu adalah bertanya. Memadai untuknya bertayamum, membalut dengan kemas lukanya menggunakan kain dan menyapu ke atasnya serta mandi pada seluruh tubuhnya. (Hadis riwayat Abu Daud dan Baihaqi) \r\n\n\n\n\rDapat difahami daripada hadis Jabir ini ialah, kita boleh menyapu pembalut kain semasa berwuduk dan mandi junub. Sapuan di atas pembalut itu dapat menyucikan kita daripada hadas kecil dan besar. \rSecara logiknya, bahagian anggota wuduk yang luka dan berbalut tidak mungkin dibasuh kerana kepentingan kesihatan yang perlu dijaga. Oleh sebab itu, kelonggaran menyapu di atas balutan adalah suatu keperluan. \rPendapat kedua ialah pandangan Ibn Hazm al-Zahiri yang menolak penggunaan hadis ini kerana baginya semua hadis berkaitan isu ini adalah daif. Katanya dalam al-Muhalla, tiada dalil al-Quran atau sunnah menggantikan basuhan dengan sapuan atas balutan.\rPandangan pertama majoriti ulama lebih kuat berdasarkan penjelasan Syeikh Ibn Taimiyyah dalam Majmuk Fatwa yang disokong ulama kontemporari seperti al-Qardhawi dan Abd Karim Zaidan. \rIni bermaksud pesakit perlu membasuh anggota yang sihat dan hanya menyapu jabirah. Ada ulama mewajibkan tayamum selepas itu dan ada ulama tidak mewajibkannya. Namun, pendapat mewajibkan tayamum selepas itu lebih tepat berpandukan pandangan Syeikh Soleh al-Uthaimin.\rKadar air yang wajib disapu atas balutan ditetapkan tidak perlu menyampaikan air pada kulit di bawah balutan. Dia juga tidak perlu membuka balutannya. Fuqaha mazhab Syafie, Maliki dan Hambali mewajibkan menyapu keseluruhan pembalut menggunakan air sekadar termampu.\rPerbuatan menyapu balutan ini dilihat lebih kuat berasaskan kemampuan sedia ada. Juga berdasarkan firman yang bermaksud: Oleh sebab itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu. (Surah at-Taghabun, ayat 16) \rBangkit persoalan kepada kita sekarang, bagaimana jika ada pendapat mewajibkan bersuci terlebih dulu sebelum memakai balutan. Hujahnya, pandangan Imam an- Nawawi mengatakan tidak sah berasaskan qias hukum menyapu khuf. Malah solat dilakukan sepanjang tempoh itu perlu diganti.\rKetetapan itu menyukarkan pesakit dalam persoalan ibadah dan dibimbangi akan berlaku pengabaian secara terus terhadap ibadah wajib seperti solat kepada pesakit.\rAjaran Islam bukan boleh dipermudahkan sesuka hati namun, Islam juga tidak menyusahkan. Ini yang dinamakan rukhsah ataupun keringanan diberikan Allah SWT. Perlakuan yang dilakukan kerana rukhsah itu sah dilakukan selagi mana adanya darurat. \rApabila hilang darurat, maka orang itu perlu kembali kepada hukum asal tanpa mengulangi ibadah dilakukan. Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung kesusahan (kepayahan) tetapi Dia mahu membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu supaya kamu bersyukur. (Surah al-Maidah, ayat 6)

[Source]                [Go Back to Citizen Journalist]                [Pump!]




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-1-2025 02:56 AM GMT+8 , Processed in 0.072979 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list