|
Shiera terkejut dicalonkan dalam kategori penyampai radio ABPBH2011PERCUBAANNYA menjadi penyampai radio ternyata membuahkan hasil apabila namanya turut tersenarai sebagai finalis kategori Penyampai Radio Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011. Siapa sangka dalam tempoh hampir setahun berada di konti Suria FM, nama Sharifah Shahira berada sebaris dengan penyampai ‘otai’ lain seperti Abby Fana, Linda Onn, Raja Azura dan Fara Fauzana.\n\n\n\nMalahan, si empunya diri juga hairan dengan pencalonan itu kerana berasakan pengalamannya dalam bidang itu sangat cetek berbanding kerjaya seni lain seperti lakonan dan pengacaraan. Namun takdir Tuhan tak siapa yang dapat menduga. Biarpun terkejut, namun Shahira atau lebih mesra disapa Shiera ini tetap teruja dengan kepercayaan diberikan peminat.\n\n\n\n\nBukan saja tersenarai sebagai calon Top 5, malah isteri pelakon Ijoy Azahari ini turut mendahului calon lain apabila mendominasi tiga kategori termasuk Pelakon Komedi Wanita Popular dan Pengacara Wanita Popular. Satu pencapaian terbaik buat Shiera dalam sejarah penganjuran ABPBH.“Saya sendiri memang tidak menyangka mendapat tiga pencalonan dan lebih-lebih lagi tersenarai sebagai finalis kategori Penyampai Radio Wanita Popular kerana jika diikutkan dari segi pengalaman, memang takkan sama dengan penyampai radio lain yang sama-sama berada dalam kategori itu.“Andai ditanya sama ada saya teruja atau tidak dengan pencalonan itu, sudah semestinya saya kata ya kerana sekurang-kurangnya saya tahu hasil kerja saya selama ini begitu dihargai peminat. Sebagai orang yang menjadikan bidang seni sebagai periuk nasi, saya hanya membuat kerja seperti yang diminta dan bukannya kerana mengharapkan anugerah,” katanya yang tidak kelihatan pada majlis pengumuman senarai Top 5 baru-baru ini, gara-gara masalah komunikasi.Apabila dicalonkan dalam kategori penyampai radio bersama-sama empat calon lain yang memang boleh dianggap gergasi dalam dunia penyiaran, ia sudah membuktikan Shiera mempunyai potensi untuk menjadi seperti mereka. Malangnya, kerjaya wanita ini sebagai deejay radio sudah berakhir sebelum dia meneruskan langkah ke peringkat lebih tinggi lagi.\n\n\nMengapa terlalu cepat Shiera mengucapkan selamat tinggal kepada tugasnya sebagai penyampai radio? Apakah dia sudah bosan sehingga mengaku kalah lebih awal?“Apa yang boleh saya katakan, kontrak saya dengan pihak Suria FM sudah pun tamat dan ia tidak diperbaharui,” katanya ringkas sambil mengharap perkara itu tidak disensasikan oleh mana-mana pihak.Tempat Shiera kini diambil alih pelakon Kenchana Dewi yang bergandingan dengan Halim Othman dan Nabil untuk memeriahkan segmen pagi.Ditanya apakah dia masih berminat untuk menjadi penyampai radio andai peluang itu terbentang di depan mata, Shiera berkata jika bersesuaian, tiada sebab untuk dia menolaknya.“Adakah orang nak panggil saya? Jika ada tawaran yang datang dan kena pada masanya, saya akan terima. Minat saya dalam bidang penyampaian radio masih ada,” ujarnya sekali gus menamatkan spekulasi kononnya dia mengundurkan diri daripada Suria FM kerana tidak sanggup untuk bangun awal setiap pagi, seperti digembar-gemburkan di internet.Dalam perkembangan lain, Shiera berkata, selain masih aktif dalam bidang seni lain, dia juga kini banyak menghabiskan masa dengan menjadi suri rumah.“Biasalah tugas seorang ibu, sibuk dengan urusan rumah tangga seperti melayan anak dan suami, serta menghantar anak pergi sekolah. Ketika yang sama sama saya juga pergi shooting. Itu sajalah tugas saya sehari-hari. Walaupun penat tapi seronok,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.Sebelum ini, pernah juga terdengar Shiera melahirkan hasrat untuk berehat daripada mengacarakan ABPBH atas alasan mahu berehat dan memberi peluang kepada pengacara lain. Mengulas perkara itu Shiera berkata, ia bukanlah keputusan yang tetap, sebaliknya masih boleh dipertimbangkan.“Memang saya ada menyatakan begitu kerana tak mahulah orang asyik cakap, balik-balik wajah saya saja. Tapi jika pihak penganjur mahukan saya, itu hak mereka dan jika penganjur masih mahukan saya, mengapa saya perlu menolak rezeki yang Tuhan bagi?” tegas Shiera.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|