Syarifah Sharizat (kanan) menunjukkan kesan melecur pada anaknya, Afit Hadi.
KOTA BHARU – Tindakan pantas seorang kanak-kanak berusia enam tahun membawa keluar ketiga-tiga adiknya dari rumah telah menyelamatkan nyawa mereka dalam satu kebakaran melibatkan dua buah rumah di Jalan Tanjong Mas di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, Afit Hadi Mohd. Hakimi, 6, sedang menonton televisyen bersama adik-adiknya, Alif Azim, 5, Aufa Imtias, 3, dan Akim Hanif, 1, di ruang tamu rumah mereka, manakala kedua-dua ibu bapa mereka tiada di rumah.
Menurut Afit Hadi, semasa sedang menonton televisyen, dia terhidu bau asap dan terkejut apabila mendapati api mula marak dari rumahnya itu.
“Saya terus mendukung Aufa Imtias, manakala Alif Azim membawa Akim Hanif keluar melalui pintu belakang rumah,” katanya.
Semasa kejadian, hanya empat beradik itu berada di rumah tersebut kerana ayah mereka, Mohd. Hakimi Ismail, 37, sedang bekerja.
Ibu mereka, Syarifah Sharizat Wan Idris, 37, pada ketika itu keluar mengambil kakak sulung mereka, Alia Insyirah, 8, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Chempaka di sini.
Sementara itu, Syarifah Sharizat ketika ditemui berkata, sebaik sahaja sampai di rumah kira-kira pukul 1.35 petang, dia terkejut melihat keadaan rumahnya yang ha ngus.
“Saya bersyukur kerana anak-anak saya selamat walaupun Afit Hadi mengalami sedikit kecederaan di bahagian lengan, namun saya merasa sedih dan terkilan kerana rumah yang didiami sejak tujuh tahun lalu musnah sekelip mata,” ujarnya.
p/s seharusnya dianugerahkan pingat Hang Tuah !
|