Gombak: Tindakan seorang remaja lelaki ingin menuntut hutang daripada rakannya mengundang padah apabila dia dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah restoran di Batu Caves, di sini, menyebabkan dia cedera di kepala dan lebam seluruh badan. Dalam kejadian jam 2 pagi kelmarin, remaja berusia 18 tahun itu pada mulanya ke restoran terbabit untuk makan sebelum terserempak dengan rakannya itu.
Menurut sumber, mangsa kemudian bersemuka dengan rakannya itu dan bertanya berkaitan wang dipinjam suspek berjumlah RM800 yang masih belum dijelaskan.
“Bagaimanapun rakannya itu memberitahu tidak mempunyai wang buat masa ini dan akan membayarnya semula nanti namun mangsa tidak berpuas hati dan memberi alasan sudah lama memberi tempoh kepada suspek untuk menjelaskan hutang itu.
“Berang dengan tindakan mangsa yang mendesaknya, suspek naik angin dan terus menolaknya menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka,” katanya.
Sumber berkata, tidak cukup dengan itu, rakan suspek turut membelasah mangsa selama beberapa minit menyebabkan dia menjerit kesakitan.
“Tidak tahan diperlakukan sedemikian rupa, mangsa bertindak melarikan diri sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Selayang untuk tindakan selanjutnya.
“Akibat kejadian itu dia cedera di kepala dan lebam seluruh badan mendapatkan rawatan di klinik berhampiran,” katanya.
|