Hamparan panorama di hadapan Aufa Darina saat itu benar-benar menyiat-nyiat dengan rakus hatinya yang dirundung pilu. Hebat benar kepiluan yang sedang hebat melanda dirinya itu. Mahu sahaja hamburan tangisan terhasil darinya. Liar mata Aufa Darina memerhatikan keadaan di sekeliling bilik asramanya itu. Dia merasa agak kekok dengan keadaan sekarang. Seumur hidup, belum pernah sekalipun dia berjauhan dari keluarganya. Itulah kali pertama dia terpaksa berbuat demikian demi menggalas tugas sebagai pelajar dan sekaligus menunaikan hasrat kedua orang tuanya yang mahu melihat dia berjaya hingga mengenggam segulung ijazah. Dia benar-benar rasa terasing sekarang. Baru sahaja abah, mak serta Umar Safwan, satu-satunya adik yang dia ada berangkat pulang.
Aufa Darina cuba menyibukkan diri dengan mengemas pakaiannya. Satu persatu bajunya yang telah dilipat kemas, diangkat lalu disusun di dalam almari yang disediakan di dalam bilik asrama itu. Teman sebiliknya masih belum tiba lagi. Dia sendiri tidak tahu siapakah yang akan berkongsi bilik dengannya hingga tamat semester itu nanti. Ligat tangannya menyusun semua pakaian.
Usai menyusun pakaian, dia bergerak ke katil bujang yang akan menemani tidurnya nanti. Perlahan-lahan dia membentangkan cadar katil yang dipenuhi corak bunga ros berwarna merah hati itu sambil menarik-narik cadar itu untuk memperkemaskannya lagi. Kemudian dia mengambil sarung bantal lalu menyarung bantal miliknya begitu juga dengan bantal dakap kepunyaan Aufa Darina yang telah medapat ‘baju’ baru itu. Setelah agak berpuas hati dengan keadaan katil dan biliknya itu dia bergerak menuju ke pintu.
“Hai, saya Izz. Sorang je ke?” sapa seorang jejaka.
Aufa Darina yang agak terperanjat dengan sapaan itu terangkat sedikit kedua bahunya. Dia berkalih, memandang ke arah jejaka yang tanpa segan silu melabuhkan duduk di kerusi sebelah kanannya. Terbuntang sedikit mata Aufa Darina. Sungguh berani pemuda itu, tutur hatinya. Dia kemudiannya mengerutkan kening sambil mengetap bibir.
“Awak siapa?” pendek soalan Aufa Darina.
“Kan tadi saya dah beritahu nama saya, Izz. Awak?” soal jejaka yang bernama Izz itu kembali dengan lagak yang selamba ‘badak air’ sahaja. Aufa Darina menggigit bibir pula, menahan geram.
“Kenapa sibuk nak tahu?” kasar sedikit jawapan dari Aufa Darina sekaligus menyatakan rasa kurang selesa dengan kehadiran jejaka itu. Aufa Darina menjeling. Entah faham atau tidak jejaka itu dengan kata-kata sinisnya tadi.
“Amboi, garangnya awak ni. Janganlah macam tu. Saya nak berkenalan dengan awak je, tak ada niat lain pun. Salahkah kalau saya hanya nak hulurkan salam perkenalan kepada awak?” tetap sahaja jejaka itu dengan soalan di akhir dialognya.
Aufa Darina menghela nafas. Nampaknya, jejaka bernama Izz itu memang seorang yang tidak faham akan bahasa lisan agaknya. Jika yang lisan pun tidak difahaminya apatah lagi bahasa tubuh.
“Saya tak kata pun salah tapi cuba lihat keadaan kita. Kan ke kurang manis jika pelajar lain nampak keadaan kita yang sedang berduaan sekarang ni. Orang kalau akal di lutut memang tak pernah fikir akan natijahnya. Awak faham tak maksud saya ni?” Aufa Darina menghamburkan sedikit geramnya dan dia juga dengan sengaja memerli jejaka itu. Boleh pula jejaka bernama Izz itu tersengih sambil memandang ke arahnya. Hati Aufa Darina kepanasan sekarang. Sah, jejaka itu sedang mereng otaknya barangkali.
“Alah, pedulikan apa yang orang nak kata. Bukan mereka yang sara makan minum kita. Kalau asyik nak pedulikan apa orang kata, sampai bila-bila pun hidup kita tak ada kemajuan. Buat atau tidak, tetap aje kita dibahankan. Adat manusia, begitulah. Dari tadi saya tanya nama awak atau awak ni memang tak ada nama ke?” bukan niat di hatinya mahu memerli, terasa gadis itu mahu jual mahal pula. Izz masih sabar menanti jawapan dari dia. Lama lagi ke? Susah betul dia mahu tahu nama gadis tersebut. Kalau gadis lain, tidak perlu dia yang bertanya.
Aufa Darina terpana seketika dengan apa yang keluar dari mulut jejaka itu. Betul juga seperti apa yang dikatakan oleh jejaka yang bernama Izz itu. Dia terdiam seketika. Kemudian,
“Penting sangat ke nama saya tu?” Aufa Darina meningkah. Dia agak geram dengan kelancangan mulut jejaka tersebut tetapi dalam masa yang sama menyokong kata-kata lelaki itu.
“Bagi awak memang tak penting tapi bagi saya ya. Tak apalah, kalau dah awak tak sudi nak beritahu nama awak, saya tak boleh nak paksa. Saya minta diri dululah. Ada rezeki dan jika umur kita masih panjang, Insya Allah kita akan bertemu lagi. Saya gembira dapat bersembang dengan awak. Assalamua’laikum,” terus sahaja Izz berlalu pergi.
Izz merasa agak hampa kerana salam perkenalannya disambut hambar oleh gadis itu. Mungkin, dia juga yang keterlaluan dalam bertindak. Mungkin cara atau gayanya menegur gadis itu yang tidak kena. Manalah dia tahu akan menerima layanan sebegitu rupa. Selalu, dia yang disapa oleh para gadis tetapi hari ini dalam sejarah pula buat dirinya. Tidak tahu mengapa gadis itu berjaya menarik minatnya. Tidak pernah lagi dia berjumpa dengan gadis yang dingin melayannya sebelum ini.
“Waalaikumussalam...” jawab Aufa Darina sambil ekor matanya bergerak mengikut arah jejaka itu pergi. Pelik! Itu yang Aufa Darina rasa. Termanggu dia seketika dengan reaksi jejaka itu. Beria-ia menegurnya kemudian pergi begitu sahaja. Aufa Darina mengangkat kedua bahunya dan kemudian dia juga bangun dan beransur pergi meninggalkan pondok tersebut.
Kelihatan Izz memalingkan wajah ke arah gadis yang sedang melangkah pergi itu. Bagi Izz pula, dia tidak tahu mengapa ringan sahaja kakinya melangkah menuju ke arah pondok yang sedang diduduki oleh gadis itu. Penampilannya ringkas sahaja, hanya berbaju kurung. Itu pun saiz baju kurungnya tidak padan dengan tubuh gadis itu yang kecil. Bajunya lebih besar sangatlah tidak padan dengan empunya tubuh yang masih muda itu. Tambahan pula corak baju gadis itu tersangatlah kusam dan hanya sinonim untuk para makcik sahaja. Namun itu semua adalah hak masing-masing dalam berpakaian. Walaupun begitu cara pemakaiannya, Izz akui gadis itu nampak ayu dan manis sekali.
Aufa Darina menolak daun pintu bilik asramanya sebaik tombol dipulas. Dengan kaki kanan dia melangkah masuk sambil di mulutnya melafazkan kalimah Bismillah dan diiringi dengan salam. Itulah yang sering dia lakukan ketika hendak masuk ke dalam rumah walaupun di dalam rumah tiada penghuni. Pantas tangannya mencapai tuala di penyidai dan ringan langkah dihayunkan ke arah bilik mandi di hujung bangunan. Dia mahu mengambil wudhuk untuk mengerjakan solat Asar. Usai mendirikan solat, Aufa Darina bergerak ke meja belajarnya. Selepas melabuhkan duduk, perlahan-lahan dia mengeluarkan buku diarinya. Sebatang pen dipegang kemudian laju sahaja tangannya berjalan di atas helaian kertas putih itu.
Entah mengapa hari ini, ada seoarang pemuda yang tiba-tiba datang menyapaku. Aku tidak pernah disapa dengan begitu ramah sebelum ini. Sebenarnya tiada apa perasaan yang timbul, cuma agak menjengkelkan aku sahaja caranya. Benar seperti apa yang dikatanya, mengapa perlu aku hiraukan kata-kata orang? Nampaknya aku perlu ubah kedinginanku jika mahu menjalinkan hubungan persahabatan dengan lelaki. Bukanlah aku mahu terjerumus ke arah yang tidak baik tetapi apabila memikirkan kembali, sampai bila aku harus menyekat perbatasan hubungan aku dengan kaum itu jika aku pandai menjaga diri. Semua itu pasti tidak akan timbul masalah. Mungkin ungkapan maaf akan aku ungkapkan padanya apabila bertemu kelak.
Aufa Darina – 2 Julai 2003
Selesai mencoretnya, Aufa Darina menutup kembali buku yang banyak menyimpan rahsianya selama ini. Disandarkan tubuh ke kerusi belajarnya. Dia sangat senang meluahkan segala isi hati hanya kepada buku diari itu yang sudah seperti teman akrabnya pula. Aufa Darina tidak mempunyai ramai kawan sebelum ini. Ramai yang sering mengelak dari mahu berkawan dengannya. Dia adalah seorang gadis yang pendiam, hanya dengan hala tujunya sahaja. Ada juga sahabat mengatakan bahawa dia seorang gadis kolot tambahan pula dengan cara pakaian yang selalu sahaja berbaju kurung dengan saiz yang besar lagilah menonjolkan kekolotannya itu. Bagi diri Aufa Darina, dia tidak kisah akan semua itu selagi dia menutup aurat dan selagi maruahnya terjaga, dia lebih rela begitu.
Aufa Darina kian hanyut di bawa arus yang sarat dengan memori lama. Kenangan yang lebih pahit dari manisnya. Dia sebenarnya tidak pernah ambil peduli akan apa yang orang di sekelilingnya berkata atau mengata tentang dirinya. Aufa Darina tidak pernah mengacau hidup mereka. Khayalannya mati tiba-tiba apabila kedengaran tombol pintu biliknya dipulas. Pandangannya pantas terhala ke sana. Sebaik terkuaknya daun pintu itu, terjengullah wajah seorang gadis. Aufa Darina senyum ke arahnya sebaik pandangan mereka bersatu. Gadis itu turut membalas senyuman. Aufa Darina lantas bangun mendapatkan gadis yang sedang berdiri di muka pintu itu.
“Assalamua’laikum. Saudari cari siapa?” soal Aufa Darina sebaik dia berdiri di hadapan gadis itu.
“Waalaikumussalam. Ini bilik nombor empat belas ke? Saya Sabrina.” Soal gadis yang bernama Sabrina itu. Dia melihat gadis yang menghuni bilik itu lebih awal darinya menganggukkan kepala. Satu helaan nafas lega terhasil darinya.
“Nampaknya, kita akan jadi rakan sebiliklah ya.” Sambung Sabrina lagi. Gadis di hadapannya itu semakin melebarkan senyuman. Kemudian Sabrina menyambut huluran tangan gadis itu dan kini mereka saling berjabat tangan.
“Jemputlah masuk Sabrina. Saya Aufa Darina binti Sulaiman. Gembira dapat berkongsi bilik dengan awak.” Balas Aufa Darina lalu mengemaskan lagi genggaman tangannya. Kedua mereka saling berbalas senyuman.
“Kalau macam tu, kejap ya Aufa, boleh ke saya panggil awak macam tu? Saya nak turun ambil barang-barang saya.” Kata Sabrina. Dia melihat gadis itu mengangguk. Belum pun sempat dia mengatur langkah kedengaran namanya dipanggil. Pantas dia menoleh.
“Sabrina, biar saya tolong awak. Jom, kita pergi sama-sama.” Aufa Darina mempelawa diri. Dia perlu memgubah kehidupannya sekarang dari pendiam ke peramah. Dia melihat Sabrina tersenyum dan menganggukan kepala.
“Jomlah.” Ajak Sabrina lalu mereka berdua melangkah bersama selepas Aufa Darina mengunci pintu bilik mereka.
Last edited by wipers81 on 3-5-2014 08:27 AM
|