IPOH – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar kecil) berkata, sehingga semalam, seramai 640 pesalah trafik di seluruh negara telah ditahan manakala 1,600 orang lagi menyerah diri sejak pelancaran Ops Warta pada 19 Mei lepas. Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga berjaya mengurangkan jumlah waran yang belum diselesaikan daripada kira-kira 1.8 juta kepada 1.5 juta setakat semalam. “Kami akan teruskan operasi ini dan saya menyeru kepada pihak yang terbabit, janganlah sampai polis membuat tangkapan kerana sebenarnya kami tak suka buat tangkapan seperti ini.
“Janganlah sampai kami pergi rumah ke rumah, itu adalah langkah terakhir yang ingin kami lakukan. Jadi sekali lagi saya seru supaya mereka yang berkenaan menyemak (saman) dengan serta-merta kerana proses menyemak telah dipermudah, melalui telefon bimbit boleh, pergi balai pun boleh, melalui internet pun boleh, macam-macam cara,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Pegawai Awam PDRM bersama beliau di sini semalam.
Ops Warta dilaksanakan bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai status waran tangkap yang belum diselesaikan seperti diumumkan oleh Khalid dalam Ops Selamat 5 yang dilancarkan semasa perayaan Aidilfitri tahun lepas.
Dalam pada itu, Khalid turut mengakui tindakan menahan pesalah trafik ketika sekatan jalan raya bukan langkah yang baik namun pihaknya tidak mempunyai pilihan lain. Katanya, mereka yang didapati cuba bersubahat dan melindungi pesalah trafik juga boleh diambil tindakan kerana menghalang penjawat awam melaksana tugas.– Bernama
|