LONDON 7 Jun – Buat pertama kali, Istana Kensington semalam memaparkan kepada umum beberapa keping foto rasmi Puteri Charlotte termasuk yang dicium abangnya, Putera George.
Gambar dirakam oleh Catherine Middleton, memaparkan Putera George tersenyum ketika memangku adiknya, Puteri Charlotte yang berusia dua minggu. – AFP
Menurut saluran penyiar BBC, gambar tersebut dirakamkan sendiri oleh ibu mereka, Duchess of Cambridge, Catherine Middleton yang menunjukkan Putera George sedang duduk di atas sofa, sambil memangku adiknya.
Rakaman yang diambil ketika Puteri Charlotte berusia dua minggu itu menunjukkan Putera George, 21 bulan, tersenyum serta mencium dahi adiknya. Dalam gambar-gam­bar berkenaan yang dimuat naik di laman Twitter @KensingtonRoyal, Putera George dilihat memakai baju putih, seluar pendek biru, dan stoking biru, sementara adiknya memakai pakaian serba putih.
Istana Kensington turut menyifatkan rakaman foto-foto itu sangat istimewa.
Istana Kensington pernah memaparkan beratus ribu hadiah, kad serta permainan kanak-kanak yang diterima dari seluruh dunia selepas kelahiran Puteri Charlotte. Duke dan Duchess of Cambridge serta anak-anak mereka tinggal di Anmer Hall di Norfolk sejak meninggalkan London tidak lama selepas kelahiran puteri mereka. Putera William dan Catherine dijangka tinggal di sana dalam tempoh beberapa tahun akan datang untuk membesarkan anak-anak mereka dengan bantuan seorang pengasuh sepenuh masa.
-UTUSAN
|