Langit Di Beijing Bertukar Oren Gara-Gara Ribut Pasir
Langit oren meliputi keseluruhan bandar Beijing apabila ribut pasir paling teruk dalam hampir satu dekad melanda kota tersebut. Pemandangan menakutkan itu malah menyebabkan tahap penglihatan merosot sejak semalam lagi. Ribut pasir yang ditiup dari Mongolia itu memperlihatkan zarah PM10 yang lebih besar iaitu melebihi 8,000 mikrogram.
Indeks kualiti udara mencatatkan bacaan 999 iaitu pada tahap berbahaya semalam sehingga berlakunya kesesakan lalu lintas dan lebih 400 penerbangan dari dua lapangan terbang utama Beijing terpaksa dibatalkan. Tahap penglihatan yang sangat teruk turut menyebabkan para pemandu membuka lampu kereta walaupun di siang hari.
Twitter
Di beberapa tempat, terdapat ribut pasir yang kuat dengan jarak penglihatan kurang dari 500 meter. Ini juga merupakan cuaca debu dan pasir paling kuat yang mempengaruhi China dalam hampir 10 tahun. Kualiti udara di Beijing sudah lama dalam keadaan yang buruk disebabkan tahap pencemaran yang tinggi. Tetapi ianya diburukkan lagi ketika ribut pasir ini melanda di mana kualiti udara menjunam ke tahap berbahaya.
Ribut pasir ini pada mulanya merebak dari Mongolia ke wilayah Gansu, Shanxi dan Hebei yang mengelilingi Beijing. Di Mongolia sendiri, ribut pasir yang melanda itu telah menyebabkan kira-kira 341 individu dilaporkan hilang. Ribut pasir sering berlaku pada Mac hingga April di negara ini yang tercetus dari kawasan Gurun Gobi. Tetapi kini lebih parah akibat daripada aktiviti penebangan hutan dan hakisan tanah yang berleluasa di China.
Twitter
Di media sosial, ramai yang berkongsi ‘screenshot’ skrin indeks kualiti udara yang menunjukkan bacaan lebih dari 9,000 iaitu secara rasminya melebihi indeks bacaan. Beberapa penduduk di Ningxia di barat China mengatakan bahawa mereka terjaga di tengah malam dengan perasaan seolah-olah tidak dapat bernafas.