|
Rakyat Malaysia rancang, tempah pakej percutian hingga 2023
| | 14 April 2022
KUALA LUMPUR - Dengan pembukaan sempadan negara 1 April lepas, rakyat Malaysia kini bebas melancong ke luar negara, selepas lebih dua tahun tidak dapat mengembara akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sejak 18 Mac 2020.
Pelbagai destinasi di seluruh dunia kini menjadi tumpuan rakyat Malaysia yang rindu untuk bercuti bersama rakan, keluarga mahupun pengembara beg galas yang mengembara berseorangan.
Rasa teruja rakyat Malaysia untuk bercuti dapat dilihat, apabila ada yang memilih untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri kali ini di luar negara untuk berpuasa dan beraya bersama anggota keluarga yang berada di perantauan.
Pekerja swasta, Nur Khairunnissa Caroline Emban, 30-an ketika dihubungi berkata, beliau merancang untuk bercuti ke London, Amsterdam dan Paris, selepas berakhir Syawal.
"Saya ingin ke kota-kota itu kerana pernah ke sana sebelum pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi.
Usahawan Surati Sujor, 49, yang sering membawa kumpulan kecil pelancong ke luar negara sebelum pandemik Covid-19 berkata, beliau menawarkan pakej pelancongan selama 10 hari ke Turki pada akhir September.
"Turki merupakan antara destinasi percutian yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia, kerana ia sebuah negara yang kaya dengan sejarah Islam selain keunikan budayanya, kerana terletak di antara benua Asia dan Eropah,” katanya.
Pengarah MyZarra Travel and Services Sdn Bhd, Zawati Talib pula berkata, tempahan yang sudah diterima agensinya, adalah bagi percutian mulai bulan hadapan sehingga Januari 2023.
Ia melibatkan perjalanan ke Eropoh Timur, Scandinavia, Eropah Tengah, England dan Scotland, Maghribi, Turki, Thailand dan pakej ke enam buah negara Balkan.
"Dalam era pascapandemik, setiap perjalanan yang diuruskan agensi MyZarra adalah dalam kumpulan kecil iaitu antara lapan dan maksima 15 orang, bagi memastikan kumpulan pengembara mudah diurus, tidak bersesak dalam kenderaan dan di tempat makan,” katanya.
Beliau berkata, agensinya kini perlu lebih sensitif, dalam mengawal jumlah pengembara yang dibawa dalam memastikan wabak Covid-19 dapat dibendung.
Sementara itu seorang lagi ketua pengembara yang sering membawa rakyat Malaysia ke Pulau Boracay di Filipina, Maldives dan Pulau Komodo di Indonesia, yang ingin dikenali sebagai Shira berkata, beliau belum membuka sebarang tempahan bagi perjalanan ke mana-mana destinasi setakat ini.
"Saya ingin melihat ‘suasana’ percutian pascapandemik terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk mempromosi sebarang pakej percutian,” katanya.
Shira berkata sebagai permulaan, promosi pakej percutian akan dibuka kepada rakan, kenalan serta pelanggan yang pernah mengikuti pakej percutian beliau sebelum ini, selepas itu baharulah beliau akan mempromosi pakej percutian di media sosial seperti yang dilakukan ketika era sebelum pandemik Covid-19.- Bernama
sumber: sinarharian.com.my |
|