Mahkamah Majistret Tumpat pada Isnin mengarahkan seorang lelaki membayar denda RM2,500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki sebanyak 916 naskhah al-Quran yang tidak mempunyai kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), tiga bulan lalu.
Tertuduh, Ammar Abdullah, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KDN, Raja Husin Raja Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ammar (tengah) diiringi pegawai penguat kuasa KDN semasa hadir di Mahkamah Majistret Tumpat pada Isnin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki 70 naskah al-Quran Al Mumayyaz dan An Nur bersaiz A4 serta B4 yang tidak mempunyai perakuan kelulusan daripada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran KDN.
Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah premis di Pasir Pekan, Wakaf Bharu pada 20 Januari lalu kira-kira jam 9.04 pagi.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki 846 naskhah al-Quran Al Mumayyaz dan An Nur bersaiz sama dengan tidak mempunyai perakuan kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran KDN.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Bandar Baru Pasir Pekan, Wakaf Bharu kira-kira jam 10.15 pagi pada hari yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7 (1) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 bagi kedua-dua pertuduhan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Raja Husin sebelum itu memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana banyak pengeluaran al-Quran yang tiada kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran berlaku sejak kebelakangan ini.
Beliau berharap hukuman dan kes yang dihadapi tertuduh dapat menjadi pengajaran kepada peniaga lain kerana al-Quran mempunyai kesuciannya tersendiri.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi pertuduhan pertama dan RM1,500 untuk pertuduhan kedua selain menetapkan penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar jumlah yang ditetapkan.
Sumber: Sinar Harian |