PEKAN – Sebuah kereta peronda polis (MPV) musnah akibat dibakar seorang lelaki warga Indonesia yang mengamuk di kawasan rumah kongsi matau balak Kampung Selengkong, Nenasi di sini malam semalam.
Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu turut menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan akibat dipukul ketika bergelut bagi memberkas suspek.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, dua anggota polis bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat laporan mengenai kejadian amuk melibatkan seorang lelaki di lokasi berkenaan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pihak polis menemui suspek seorang diri dan semasa pemeriksaan dilakukan suspek bertindak agresif dengan memukul dan mencederakan anggota polis
.
“Suspek kemudiannya masuk ke dalam rumah kongsi dan mengambil satu objek menyala seperti api sebelum membaling ke dalam kereta pasukan yang ketika itu terdapat seorang anggota polis,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, anggota polis yang berada di dalam kereta bertindak keluar menyelamatkan diri manakala suspek melarikan diri ke hutan berhampiran.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan membakar kenderaan polis menggunakan api.
Katanya siasatan masih giat dilakukan bagi mengesan suspek dan operasi Ops Tutup dilakukan bersama Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang.
Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, bomba yang menerima panggilan pada pukul 11.47 malam bergegas ke tempat kejadian bersama enam anggota dan seorang pegawai menaiki dua buah jentera.
“Sebaik sampai di lokasi kejadian operasi pemadaman tidak dapat dilakukan serta merta atas faktor keselamatan arahan daripada pihak polis dan pihak bomba dibenarkan memadam kebakaran setelah keadaan kembali selamat.
“Kebakaran dipadam menggunakan satu aliran hos dari tangki pam jentera bomba dan kenderaan terbakar seratus peratus,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE