INSTITUSI kewangan Malaysia sedang mengkaji sistem pemesejan kewangan Rusia dengan terperinci dan bersedia menyertai jika memenuhi beberapa kriteria, kata Duta Malaysia ke Moscow Bala Chandran Tharman.
Beliau berkata selain Malaysia, setiap negara rakan kongsi lain yang menjalankan perniagaan dengan Rusia juga sedang mempertimbangan perkara yang sama.
“Semua sedang meneroka peluang untuk meneruskan perniagaan dengan lebih besar,” kata Chandran sambil menyatakan keyakinan bahawa jika sistem itu dapat membantu memberi penyelesaian komersial yang baik, institusi asing pasti akan menyertainya.
Bala Chandran berkata pada masa yang sama, sektor swasta Rusia semakin berminat dalam industri Malaysia.
“Bidang utama minat mereka ialah penjagaan kesihatan dan peralatan perubatan, khususnya pergigian, serta eksport pertanian, khususnya minyak sawit.
“Syarikat Malaysia lebih kerap dijemput ke Rusia untuk membentangkan produk mereka, dan mereka kini sedang mencari peluang dalam pasaran Rusia,” tambah duta itu.
Memandangkan Malaysia kini sedang mempromosi gentian berkualiti tinggi baharu, kenaf, Malaysia boleh menyumbang dengan ketara kepada import pertanian Rusia dan menyokong sektor pembuatan dan ekonomi Rusia dengan membekalkan bahan itu.
“Pembekalan kenaf sedang dibincangkan oleh suruhanjaya kerjasama ekonomi dua hala serta di peringkat kerajaan,” katanya sambil menyatakan kenaf digunakan secara meluas dalam industri perkapalan untuk pembungkusan.
Satu mesyuarat suruhanjaya Rusia-Malaysia mengenai kerjasama ekonomi, saintifik, teknikal dan kebudayaan mungkin akan diadakan pada suku kedua tahun ini.
— BERNAMA
#MajalahForexMalaysia