Seorang lelaki yang dirakam menendang seekor kucing hingga terjatuh ke dalam laut di Greece berdepan dengan hukuman penjara 10 tahun selepas dia ditahan polis, lapor laman berita LadBible semalam.
Berdasarkan sebuah rakaman yang dikongsikan di media sosial, tiga individu dilihat sedang duduk di sebuah restoran berhadapan dengan sebuah pantai sebelum mereka dihampiri oleh dua ekor kucing.
Lelaki itu mengacah seekor kucing ke bahagian tebing laut dengan menggunakan seekor ikan sebelum menendang haiwan itu ke dalam laut. – Instagram @stamatina_ss
Salah seorang daripada mereka kemudian dilihat mengacah salah seekor kucing ke bahagian tebing laut dengan menggunakan seekor ikan. Dia seterusnya menendang haiwan itu ke dalam laut.
Video itu menjadi tular di media sosial sehingga membawa kepada penahanan lelaki berkenaan.
Sekiranya didapati bersalah, dia berdepan dengan hukuman penjara 10 tahun selain denda maksimum €50,000 (RM229,122).
Menurut laporan akhbar Metro UK, kucing yang menjadi mangsa itu ditemui dalam keadaan selamat oleh penduduk setempat dan dibawa menemui doktor haiwan.
Pada 2020, kerajaan Greece meluluskan satu undang-undang yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun bagi pesalah yang menganiaya haiwan .
Antara bentuk penganiayaan kepada haiwan yang tertakluk di bawah undang-undang itu adalah meracun, menggantung, melemaskan dan mencacatkan.
Sumber: Kosmo
|