ALOR SETAR: Seramai 29,745 calon pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di negeri Kedah bermula hari ini sehingga 15 Mac depan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Rozaini Ahmad, berkata jumlah itu membabitkan calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).
Beliau berkata, sebanyak 264 pusat peperiksaan dibuka di seluruh Kedah yang menempatkan kesemua pelajar yang mengambil peperiksaan terbabit.
"Selain itu bilangan calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) adalah seramai 57 orang antaranya membabitkan mereka yang menghadapi masalah pembelajaran, kurang upaya fizikal, kurang upaya penglihatan, kurang upaya pendengaran dan individu terbabit kemalangan.
"Calon paling ramai dicatatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aman Jaya Sungai Petani iaitu seramai 432 calon diikuti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Keat Hwa (CF) 386 calon dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chio Min di Kulim seramai 351 calon," katanya dalam satu kenyataan d sini, hari ini.
Rozaini berkata, calon paling sedikit dicatatkan di Sekolah Integriti Sungai Petani iaitu seramai tiga orang diikuti Maahad Al Imam Al Syafie di Pendang dan SMK ST Patrick di Kulim yang masing-masing cuma memiliki 15 calon saja.