KUALA LUMPUR: Perkongsian kad laporan 100 hari Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, mengundang pelbagai komen netizen terutama apabila menghadiri 58 kenduri turut disenarai antara pencapaian wakil rakyat itu.
Ramai dalam kalangan netizen mempertikai alasan Siti Mastura menyenaraikan 58 kenduri membabitkan majlis perkahwinan dan kenduri kesyukuran itu, selain 36 ziarah kematian sebagai antara pencapaian utama beliau.
"Kad laporan ni kalau kat syarikat swasta (atau mungkin juga badan kerajaan, saya tak pasti) cuma berkait dengan KPI (indeks pencapaian utama). Tak sangka ziarah kematian dengan kenduri pun KPI Ahli Parlimen," kata seorang pengguna Twitter.
"Kalau ziarah orang mati pun dikira sebagai pencapaian, baik orang Kepala Batas lantik penggali kubur je jadi Ahli Parlimen," kata seorang pengguna Twitter lain.
Di sebalik komen mengkritik, ada juga yang memuji pencapaian Siti Mastura menyenaraikan ziarah dan bantuan kepada mangsa musibah, selain bantuan warga emas, orang kurang upaya (OKU), orang sakit dan asnaf dalam kad laporan itu.
"Hebat YB berkhidmat untuk masyarakat. Bangga dengan YB kepala batas. Terbaik. Abaikan orang yang tak senang duduk." kata pengguna di Facebook.
"Terbaik YB. Pedulikan apa orang lain katakan yang penting kerja untuk rakyat di Kepala Batas berjalan. Inisiatif yang baik dari YB menghebahkan laporan kerja sepanjang dilantik menjadi YB. Selamat berkhidmat," kata pengguna Facebook lain.
Kad laporan prestasi oleh wakil rakyat kebiasaannya dikongsi kepada umum untuk menunjukkan hasil kerja yang berjaya dicapai dalam tempoh tertentu.
Siti Mastura yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang dan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) memperoleh 28,604 undi, manakala Reezal Merican dengan 25,737 undi.
Dua lagi calon iaitu Danial Abdul Majeed (Muda – PH) serta Hamidi Abu Hassan (PEJUANG) masing-masing memperoleh 14,214 dan 747 undi.