View: 4595|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Sentimen 3R cara mudah meraih perhatian
[Copy link]
|
|

SENTIMEN 3R sering digunakan untuk memancing emosi seseorang.
Kuala Lumpur: Penggunaan sentimen raja, agama, dan kaum (3R) dalam meraih manfaat adalah cara paling mudah kerana ia berpotensi mempengaruhi perasaan seseorang.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata, jadi sebab itu walaupun nasihat demi nasihat malah larangan demi larangan diberikan namun isu 3R terus dimainkan.
Beliau berkata, isu 3R bukan saja digunakan dalam kalangan ahli politik malah bukan orang politik kerana cara itu paling mudah menarik perhatian.
"Bagi saya perlu ada perundangan khas untuk menangani isu penggunaan bangsa, agama dan monarki yang dilihat bukan saja untuk meraih modal atau manfaat politik.
"Dalam kehidupan rakyat biasa, banyak isu 3R dipergunakan terutama sekali di media sosial. Jadi perlu diadakan satu perundangan khas.
"Saya melihat perundangan atau peruntukkan yang ada dalam Suruhanjaya Komunikasi dan Media Malaysia (SKMM) umpamanya tidak cukup untuk mengekang perkara ini," katanya.
Beliau berkata, jika permainan sentimen 3R tidak disekat ia akan menjadi teruk dan sekarang sudah dikira bertambah buruk terutama sekali dalam senario politik.
Sementara itu, penganalisis politik dan keselamatan dari Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, larangan 3R dilihat masih lagi dalam kawalan.
"Tetapi khususnya ahli politik dan secara amnya kepada masyarakat awam terus diingatkan supaya tidak memainkan isu 3R.
"Bagi saya apa yang perlu dibuat untuk membentuk satu minda keselamatan iaitu keselamatan menyeluruh dalam kalangan masyarakat awam di mana mereka sendiri perlu cakna.
"Jika berlaku salah laku dalam kalangan ahli politik atau pun kumpulan tertentu yang memainkan isu 3R, ia dapat ditangani bersama secara kolektif dalam konteks keprihatinan daripada masyarakat," katanya.
Noor Nirwandy berkata, ia bertepatan dengan elemen keselamatan menyeluruh yang perlu ada dalam masyarakat bagi memastikan tidak berlakunya mana-mana pihak menyentuh isu sensitif berisiko menghangatkan keadaan seperti elemen 3R .
Katanya, setiap anggota masyarakat perlu memastikan elemen 3R tidak terus dipergunakan untuk kepentingan peribadi individu atau organisasi sama ada oleh ahli politik atau pun masyarakat awam.
"Kita bersama-sama membentuk satu pola baru dalam pembentukan minda keselamatan yang memberikan elemen lebih positif terhadap negara dan menidakkan kumpulan yang sentiasa cuba menggunakan 3R untuk kepentingan tertentu," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ah-meraih-perhatian |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|