Alur pelayaran terminal feri Kuala Perlis kembali cetek
Oleh Hamzah Osman - Ogos 5, 2024 @ 9:26am [email protected]
Jadual perjalanan feri di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis diubah berikutan perairan dilapor kembali cetek. - NSTP/HAMZAH OSMAN
LANGKAWI: Alur pelayaran dan perairan sekitar Terminal Feri Kuala Perlis (TFPKP) dilaporkan kembali cetek hingga menjejaskan jadual perjalanan feri ketika ini.
Pengarah Jabatan Laut Wilayah Utara, Abd Majid Rais, berkata kerja pengerukan perlu dilakukan sebelum operasi feri Langkawi ke Kuala Perlis kembali normal dan feri dapat merapat ke jeti tanpa menunggu air pasang.
Katanya, antara faktor kawasan itu cepat cetek selepas kerja pengerukan sebelum ini ialah berlaku mendapan aliran lumpur dari sekitar yang membentuk timbunan lumpur di sepanjang lembangan berhampiran jeti.
"Kita ada menerima aduan mengatakan alur pelayaran feri dan kawasan sekitar terminal feri kini kembali cetek akibat lumpur selepas lebih setahun kerja pengerukan terakhir dilakukan di kawasan itu.
"Kerja pengerukan baharu di kawasan itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat kerana projek itu dianugerah kepada sebuah syarikat menerusi tender terbuka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Abd Majid berkata, surat setuju terima oleh syarikat terbabit ditandatangani pada 15 Julai lalu membabitkan kontrak kerja selama 10 bulan bermula 1 Ogos lalu hingga 31 Mei tahun depan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line)meminda 52 perjalanan feri sepanjang bulan ini susulan paras air di jeti kembali cetek.
Semalam, Pengurus Operasi Ferry Line, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid, dilaporkan berkata, pindaan 52 perjalanan feri dilakukan bagi mengelak kejadian feri tersangkut pada beting.
Katanya, Ferry Line menaikkan kedalaman air yang selamat untuk pelayaran feri kepada 1.4 meter (m), berbanding 1.2m sebelum ini sebagai langkah menjamin keselamatan penumpang.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/08/1280619/alur-pelayaran-terminal-feri-kuala-perlis-kembali-cetek
|