Intel akan terus berkembang di Pulau Pinang - Ketua Menteri
Oleh BERNAMA - Ogos 16, 2024 @ 11:00pm
Kon Yeow (tengah) pada Majlis Menandatangani Perjanjian MoU di antara IJM Perennial dengan empat pemain indsutri terkemuka bagi pembekalan infrastruktur telekomunikasi dan hospitaliti di George Town, hari ini - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Pembuat cip Amerika Syarikat (AS), Intel sedang meneruskan rancangan pengembangan Pulau Pinang, membuktikan bahawa pemberhentian pekerja bukan sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kos seperti yang dilaporkan, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
"Kami tidak melawat Intel semasa lawatan saya ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini dan ia tidak dimaklumkan mengenai sebarang rancangan pemberhentian pekerja.
"Kerajaan negeri tidak tahu bagaimana ia akan memberi kesan kepada Pulau Pinang tetapi mereka sedang memperluaskan perniagaan mereka di sini sekarang. Justeru, dijangkakan Intel akan mengambil pekerja dan bukannya memberhentikan pekerja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian antara IJM Perennial Development dan Maxis Broadband Sdn Bhd, GlobalComm Telecommunications Sdn Bhd, Hyatt International - Asia Pacific dan Galaxy Minyoun Hotel di The Light City di sini hari ini.
Awal bulan ini, media asing melaporkan bahawa Intel telah mengumumkan rancangan untuk mengurangkan lebih 15 peratus tenaga kerjanya di bawah pelan penstrukturan semula.
Dilaporkan juga bahawa syarikat yang berpangkalan di California itu akan menghapuskan kira-kira 15,000 pekerjaan sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan kos sebanyak AS$10 bilion pada 2025.
Intel melaporkan hasil sebanyak AS$12.8 bilion pada suku kedua tahun kewangan 2024, susut satu peratus daripada setahun lalu dan mencatatkan kerugian bersih US$1.6 bilion.
Mengenai lawatan rasmi ke AS baru-baru ini, Kon Yeow berkata Pulau Pinang telah menerima pengesahan daripada pelabur sedia ada bahawa mereka mempunyai rancangan untuk terus mengembangkan operasi mereka.
"Majoriti syarikat yang kami lawati terdiri daripada pelabur sedia ada yang memikirkan rancangan pengembangan," katanya.
Beliau berkata, misi yang diketuainya bersama-sama dengan delegasi InvestPenang memfokuskan untuk memperbaharui hubungan dan mengukuhkan hubungan dengan pelabur Amerika di Pulau Pinang.
Misi dari 4 hingga 14 Ogos lalu membabitkan 22 mesyuarat strategik rasmi dan lawatan tapak untuk menggalakkan pengembangan operasi mereka di Pulau Pinang dan menarik pelaburan baharu.
Delegasi telah melawat MKS Instruments, Brooks Instrument, Lattice Semiconductor, AMD, Synopsys, Efinix, Agilent, Coherent, SambaNova dan Western Digital, Centific, Monolithic Power Systems (MPS), Dexcom, Cohu, UST, TTM Technologies, Mattel dan bakal pelabur. -BERNAMA
https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2024/08/1285898/intel-akan-terus-berkembang-di-pulau-pinang-ketua-menteri
|