Alor Setar: Sejumlah 80 bot berarak menyelusuri Sungai Kedah sejauh 17 kilometer (km) sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Kedah sempena sambutan Hari Kebangsaan akan datang.
Perarakan bermula di Kampung Seberang, Anak Bukit itu diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengemudi sendiri botnya untuk bertemu orang ramai di sekitar tebingan sungai.
Terdahulu dalam ucapan sebelum pelepasan beliau berkata, Sungai Kedah menyimpan banyak sejarah negeri itu selain pernah menjadi laluan utama masuk ke bandar raya ini.
Katanya, kerajaan negeri sedang berusaha menjadikan Sungai Kedah antara produk pelancongan utama negeri bagi menarik minat orang ramai termasuk pelancong asing.
"Disebabkan itu kita buat program berarak di dalam air (sungai) sempena Hari Kebangsaan minggu hadapan, supaya rakyat tahu Sungai Kedah pernah menjadi 'highway' untuk masuk ke Alor Setar suatu masa dulu.
"Saya harap usaha dapat dilakukan bagi mengindahkan persekitaran sungai ini agar dapat menarik minat pelancong melihat kehidupan tradisi masyarakat di sini," katanya di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani, Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Anak Bukit, Rashidi Razak.
Sementara itu, Dzowahir yang juga Adun Suka Menanti berkata, rakyat Kedah menunjukkan rasa cinta kepada negara melalui cara tersendiri dengan berarak bot menyelusuri Sungai Kedah.
"Kebiasaannya orang melakukan konvoi merdeka melalui jalan darat, namun kami cuba mencipta kelainan melalui jalan air.
"Selepas ini, kita berhasrat menjadikan program konvoi bot merdeka ini sebagai acara tahunan di Kedah," katanya.