Lelaki Rohingya disyaki bunuh isteri, dua anak disambung reman 7 hari
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Ogos 26, 2024 @ 10:48am [email protected]
ALOR SETAR: Tempoh reman terhadap lelaki Rohingya yang disyaki membunuh isteri dan dua anaknya disambung tujuh hari lagi hingga 2 September depan.
Perintah reman terhadap suspek berusia 43 tahun itu dikeluarkan Majistret, Nur Syifa Mohd Hamzah di Kompleks Mahkamah Alor Setar, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan suspek disyaki membunuh isteri dan dua anaknya berikutan kesan kelar di leher mangsa dengan kesemua mangsa ditemui di dua lokasi berasingan di daerah ini.
Mayat isterinya yang berusia 34 tahun dan anak perempuannya yang berusia 10 tahun ditemui dalam longkang di belakang bangunan terbiar berhampiran Pekan Simpang Kuala, di sini pada 19 Ogos lalu, jam 5 petang.
Mayat anak lelaki berusia dua tahun ditemui di kawasan Pantai Leman, Kuala Kedah pada 20 Ogos lalu jam 12 tengah hari.
Berikutan itu, polis menahan suspek di Masjid Al Hidayah, Bukit Pinang di sini, pada jam 9 malam pada penemuan mayat isteri dan anak sulungnya itu.
Suspek dipercayai berjalan kaki sejauh kira-kira 17 kilometer selepas membunuh tiga ahli keluarganya itu.
Dia dipercayai mengelar leher isteri dan anaknya menggunakan sebilah parang berukuran kira-kira 45 sentimeter (cm).
Berdasarkan siasatan awal, suspek disyaki menghadapi tekanan emosi kerana mereka lima beranak hidup daif dan gelandangan.
Suspek bagaimanapun tidak mengapa-apakan seorang lagi anak lelakinya berusia lima tahun yang turut dibawa berjalan ke masjid terbabit.
Saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/08/1290101/lelaki-rohingya-disyaki-bunuh-isteri-dua-anak-disambung-reman-7-hari
|