CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6084|Reply: 0

[Johor] Lebih 4,300 pelajar, 212 guru terbabit Sekolah Rintis Bangsa Johor, 16 Februari ini

[Copy link]
Post time 2-2-2025 05:36 PM | Show all posts |Read mode


Johor Bahru: Lebih 4,300 pelajar dan 212 guru akan terbabit dalam fasa permulaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bermula pada sesi persekolahan dibuka, 16 Februari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, projek rintis itu memberi penekanan terhadap penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Bahasa Inggeris.

Menurut beliau, pelajar yang terbabit dengan SRBJ akan diwajibkan melengkapkan sekurang-kurangnya 112 jam kelas dalam mata pelajaran STEM setiap tahun, berbanding sekurang-kurangnya 64 jam di sekolah lain.

"Sebagai persediaan, 212 guru sekolah rendah dan menengah terbabit dihantar ke Institut Pendidikan Negara (NIE) di Singapura untuk latihan dan bengkel sebagai persediaan pembukaan sekolah rintis pada pertengahan bulan ini.

"Kita mahu semua 212 guru memperoleh sijil mengikut piawaian antarabangsa, 'Common European Framework of Reference For Language' (CEFR). Mereka ini menjadi tulang belakang SRBJ," katanya.



Beliau berkata demikian selepas Program Bantuan Kasih Murid Johor di AEON Mall Tebrau, di sini, semalam.

Fasa permulaan projek SRBJ membabitkan dua sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2 dan SMK Tasek Utara serta dua sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4 dan SK Tasek Utara.

Menerusi Belanjawan Johor 2025, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan peruntukan RM6.22 juta untuk menaik taraf sekolah-sekolah yang berpotensi dilaksanakan SRBJ.

Sekolah rintis ini akan diberi keutamaan daripada segi menaik taraf kemudahan sekolah seperti makmal komputer serta bilik sains yang lebih dinamik dan maju selaras dengan peredaran semasa.

Aznan berkata, daripada segi sistem pembelajaran dan silibus bagi SRBJ, akan ada penambahan, namun daripada segi sesi persekolahan, ia masih sama.

Katanya, bagi sekolah menengah, SRBJ membabitkan semua pelajar namun tumpuan lebih kepada bagi pelajar tingkatan dua dan tiga yang menjadi penanda aras kerana hasilnya akan dapat dilihat dalam tempoh kira-kira tiga tahun.

"Di sekolah rendah, ia akan membabitkan semua murid dengan sistem pendidikan yang kita sudah susun, yang paling penting ia tidak mengubah dasar pendidikan negara, hanya sedikit penambahan kepada silibus sedia ada.

"Kita juga akan melakukan sesi libat urus bersama ibu bapa supaya mereka faham dan jelas apa sebenarnya hasrat kerajaan negeri menerusi projek rintis ini," katanya.

Pada 13 Februari 2024, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan supaya kerajaan negeri mempertingkatkan pendidikan anak Bangsa Johor supaya tidak keciciran.

Dalam hantaran Facebook rasmi baginda semalam, Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa pendidikan, ekonomi, infrastruktur negeri dan peluang pekerjaan adalah matlamat dan keutamaan baginya sejak menjadi Pemangku Sultan Johor.


Disiarkan pada: Februari 2, 2025



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

6-2-2025 04:13 PM GMT+8 , Processed in 0.195426 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list