Johor Bahru: Pembantu tukang jahit didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana menulis komen berbaur hasutan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Disember lalu.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail menjatuhkan hukuman denda itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Norli Mohamed Yusof, 53. Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerbitkan penerbitan melalui akaun Facebook (FB) dengan kata-kata menghasut bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Kesalahan itu dilakukan di Bandar Seri Alam, di sini, kira-kira jam 2 petang pada 11 Disember 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-keduanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, seorang pengadu melihat satu posting bergambar di sebuah akaun FB yang menunjukkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersama Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menikmati makan tengah hari di sebuah restoran asam pedas popular di sini.
Pengadu melihat pemilik akaun FB iaitu tertuduh memuat naik komen yang berunsur dan mempunyai kecenderungan menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seri Alam.
Semakan dan risikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati akaun FB itu didaftarkan di nombor telefon anak perempuan tertuduh.
Siasatan terhadap anak tertuduh mengesahkan bahawa akaun FB dimiliki dan dikendalikan ibunya.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Abdul Latif dan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi dan P Rajagunaseelan.
Terdahulu, peguam memohon tertuduh dikenakan denda yang minimum memandangkan dia mengaku salah selain keadaan kewangan keluarganya.
Pengarah Pendakwaan Negeri Johor bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan dilakukan tertuduh amat serius.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap tertuduh dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.
|