Bangkai ikan dilihat terapung dalam tasik di Taman Tasik Metropolitan. (Gambar Twitter)
FMT
PETALING JAYA: Tasik di Taman Tasik Metropolitan, Kepong tercemar lagi hanya sebulan selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengenakan kompaun terhadap pemaju hartanah kerana mencemarkannya.
Ahli Parlimen MP Lim Lip Eng berkata, air tasik kini “hitam, bukan biru seperti sepatutnya.”
“Tercemar lagi. Ada bangkai ikan dan baunya busuk,” kata ahli DAP itu di Twitter dengan turut memaparkan gambar serta video lokasi itu.
Lim berkata, ini bukan kali pertama beliau mengadu mengenai hal itu.
“Tolonglah ambil tindakan tegas dan segera.”
Bulan lalu, DBKL mengkompaun sebuah pemaju hartanah selepas mendapati air tasik itu tercemar dipercayai akibat kerja pembinaan dilakukan di sebelahnya.
DBKL juga berkata pihaknya mencampakkan bebola lumpur ke dalam tasik itu setiap hari untuk mengawal tahap amonia dan mengurai enap cemar atau kelodak di dalam air.
Pihak berkuasa tempatan itu juga mempertimbangkan membina air pancut untuk memperbaiki tahap oksigen dalam tasik itu. |