Seekor gajah betina dewasa lingkungan usia 30 - 35 tahun dikesan menceroboh kawasan Sekolah Kebangsaan RPS Kemar, Gerik selasa lalu. Gambar ihsan pembaca
Berita Harian
Mohd Rashidi Yusuf.
[email protected]
GERIK: Kerosakan pagar elektrik yang dipasang di sekeliling Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar dekat sini menyebabkan kumpulan gajah liar sering menceroboh ke kawasan sekolah itu sejak lebih sebulan lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Yusoff Shariff, berkata pagar elektrik itu baru dipasang November tahun lalu selepas menerima aduan pihak sekolah mengenai kehadiran kumpulan gajah.
Katanya, sejak pagar elektrik dipasang, kumpulan gajah terbabit berjaya dihalang masuk ke kawasan sekolah berkenaan.
"Bagaimanapun, pagar elektrik terbabit rosak menyebabkan kumpulan gajah berjaya masuk semula ke dalam kawasan sekolah," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau mengulas kehadiran seekor gajah betina dewasa berusia antara 30 dan 35 tahun ke dalam kawasan sekolah itu Selasa lalu.
Yusoff berkata, kehadiran gajah dewasa yang dipercayai hendak mencari makanan itu, sempat dirakam seorang lelaki yang berada dalam kawasan sekolah itu, namun haiwan itu tidak bertindak agresif. |