|
Platform penstriman berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), MagellanTV menawarkan ganjaran AS$2,400 (kira-kira RM10,132) kepada mereka yang sanggup menyahut cabaran menonton dokumentari jenayah kisah benar selama 24 jam.
UPI melaporkan, individu terbabit juga dikehendaki berkongsi pengalaman di media sosial, selepas menonton dokumentari berkenaan.
Gambar hiasan
MagellanTV dalam satu kenyataan memaklumkan Third Annual True Crime Watch Dream Job adalah kesinambungan program yang dibuat pada 2020 dan tahun lalu, malah nilai ganjarannya masih sama.
Pemenang akan menikmati ganjaran istimewa iaitu langganan penstriman percuma selama setahun.
"Calon ideal kami 'hidup' untuk jenayah sebenar dan boleh 'berdepan' pembunuh bersiri yang paling mengancam.
"Mereka juga hendaklah berani menonton babak paling mengerikan dan tidak gentar dengan paranormal yang menyeramkan," kata perkhidmatan penstriman itu di laman webnya.
Dokumentari akan ditonton oleh peserta terpilih termasuk episod Lady Killers, 10 Steps to Murder, Nurses Who Kill, Murder on the Internet, 21st Century Murder dan CyberCrimes with Ben Hammersley.
Sumber: Harian Metro |
|