|
GAMBAR dikeluarkan oleh Guardia Civil Sepanyol menunjukkan anggotanya memeriksa patung haiwan-haiwan yang diawet yang dirampas di Betera, kelmarin. – AFP
Polis Sepanyol rampas 1,000 haiwan liar diawet
VALENCIA, SEPANYOL – Polis Sepanyol menemui lebih 1,000 bangkai haiwan yang diawet di dalam beberapa buah gudang dekat Valencia, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Semua haiwan diawet itu termasuk harimau, singa, gajah, harimau bintang dan oryx yang dianggarkan bernilai sekitar £24 juta (RM132 juta).
Polis masih menyiasat satu sindiket yang disyaki terlibat dengan penyeludupan mumia haiwan tersebut, namun tidak dapat dipastikan sama ada binatang liar itu mati secara semula jadi atau diburu.
Menurut Eduardo Goncalves yang merupakan aktivis pencinta haiwan, pembunuhan haiwan tanpa perikemanusiaan adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.
“Kita sering bercakap mengenai beberapa spesies haiwan terancam, namun, sebilangan daripada pemburu haram merupakan penduduk Sepanyol sendiri dengan seorang daripada mereka telah membunuh lebih 2,000 haiwan liar,” katanya.
Polis pula berkata, pemilik gudang tersebut boleh didakwa atas kesalahan penyeludupan atau jenayah alam semula jadi, namun tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.
Dalam pada itu, Pengarah pertubuhan pencinta haiwan People for the Ethical Treatment of Animals (PETA), Elisa Allen berkata, penjualan anggota badan haiwan eksotik adalah salah satu sumber pendapatan terbesar untuk kumpulan-kumpulan penjenayah.
“Namun, haiwan-haiwan ini yang menjadi mangsa,” katanya. – AGENSI
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2022/04 ... haiwan-liar-diawet/
|
|