|
COVID-19 masih jauh untuk jadi endemik, kata WHO
https://www.bharian.com.my/dunia ... uk-jadi-endemik-who
April 15, 2022 @ 6:28am
Kanak-kanak diberikan dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Smoketown Family Wellness Center di Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan COVID-19 masih jauh untuk beralih kepada penyakit endemik, malah masih boleh mencetuskan wabak besar di seluruh dunia.
Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Michael Ryan, berkata adalah silap untuk menganggap jangkitan COVID-19 sudah reda dan menjadi endemik.
"Saya pasti tidak percaya kita sudah mencapai apa-apa yang hampir dengan situasi endemik," katanya pada sesi soal jawab secara langsung di saluran media sosial WHO.
Beliau berkata jangkitan COVID-19 masih tidak menentu dan mampu mencetuskan wabak yang besar.
Beliau menjelaskan batuk kering dan malaria sebagai penyakit endemik yang masih membunuh jutaan nyawa setiap tahun.
"Jangan percaya bahawa endemik bersamaan dengan ia berakhir, ia ringan atau tidak menjadi masalah. Itu tidak berlaku sama sekali," katanya.
Ketua teknikal COVID-19 WHO, Maria Van Kerkhove yang turut dijangkiti penyakit itu dan sedang menjalani pengasingan diri di Amerika Syarikat, berkata virus itu beredar pada tahap tinggi, menyebabkan "sejumlah besar kematian dan kemusnahan."
"Kita masih di tengah-tengah wabak ini. Kita semua berharap bahawa kita tidak begitu. Tetapi kita tidak berada di peringkat endemik."
Mengulas lanjut, Ryan menjelaskan kebiasaannya penyakit yang menjadi wabak merebak menjadi corak endemik dengan memfokuskan pada bahagian tertentu populasi.
Beliau berkata penyakit seperti itu juga boleh menjadi penyakit zaman kanak-kanak seperti campak dan difteria kerana kanak-kanak yang baru dilahirkan mudah terdedah dengan pelbagai virus.
Bagaimanapun jika tahap vaksinasi menurun seperti yang berlaku kepada campak, wabak boleh merebak lagi.
Minggu lalu, menyaksikan jumlah kematian akibat COVID-19 terendah dicatatkan berbanding awal kemunculan penyakit itu.
Bagaimanapun, lebih 20,000 kematian dilaporkan, yang disifatkan Ryan "masih terlalu ramai... kita boleh gembira tetapi kita tidak seharusnya berpuas hati." - AFP
|
|