|
Seorang lelaki dari Britain membuka sebuah muzium najis yang mempamerkan pelbagai bentuk bahan buangan itu daripada berbagai-bagai jenis hidupan, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Daniel Roberts, 51, tidak menyangka bahawa muzium yang baru dibuka kepada orang awam pada minggu lepas itu mendapat sambutan di luar jangkaan apabila dia telah menerima beratus-ratus pengunjung sehingga kini.
Muzium Najis Negara, yang terletak di Isle of Wight, England itu memaparkan najis pelbagai jenis haiwan termasuk singa, musang, panda dan wombat serta dua sampel milik manusia.
Kredit foto: The Sun
Menurut Roberts, dia mendapat idea untuk membuka muzium tersebut selepas menemui najis kucing liar jenis lynx ketika berada di Sweden.
“Najis agak mudah untuk dijaga. Ia murah, berada di sekeliling kita serta menjadi satu topik yang tabu.
“Pada awalnya, kami berasa bimbang sekiranya tiada sesiapa yang mahu datang ke muzium ini, namun sambutannya amat luar biasa kerana pengunjung sanggup beratur di bawah hujan semata-mata untuk melihat najis,” katanya.
Najis-najis di muzium tersebut dipelihara dengan cara mengeringkannya dan menyimpannya dengan rapi di dalam damar.
Muzium Najis Negara milik Roberts adalah kemudahan kedua yang menawarkan pameran najis selepas muzium pertama telah dibuka di Itali.
Sumber: Kosmo |
|