CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 503|Reply: 0

[Tempatan] Sebilangan penternak tak sembelih lembu sempena Aidilfitri, bimbang ‘tak balik modal’

[Copy link]
Post time 22-4-2022 08:35 AM | Show all posts |Read mode
Penternak tak sembelih lembu, bimbang ‘tak balik modal’

https://www.utusan.com.my/nasion ... ng-tak-balik-modal/

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
22 April 2022, 7:30 am


SALIM Adam bersama lembu-lembu ternakannya di kandang miliknya di Kampung Sungai Kuali, Serkat di Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI

PONTIAN: Kenaikan harga makanan ternakan membuatkan sebilangan penternak tidak bercadang menyembelih lembu bagi jualan daging sempena sambutan Aidilfitri ini kerana bimbang pulangan hasil tidak setimpal modal dikeluarkan.

Sekiranya tetap mahu menyembelih lembu, penternak terpaksa menaikkan harga jualan daging itu bagi menampung kos operasi yang diramal mencecah RM40 sekilogram minggu depan.

Seorang penternak, Salim Adam, 66, berkata, jika mahu menjual daging lembu, dia perlu menyembelih antara empat hingga lima ekor haiwan itu bagi menampung kos upah pekerja, pengangkutan dan lain-lain.

Malah katanya, dia tidak pasti berapa harga sekilogram daging lembu sepatutnya dijual berdasarkan kos kenaikan harga makanan yang naik mendadak akhir-akhir ini.

“Saya diberitahu ada penjual yang akan menjualnya antara harga RM38 hingga RM40 sekilogram dan bertambah untuk bahagian tertentu seperti daging batang pinang dan daging ros.

“Penternak sebenarnya serba salah menetapkan harga kerana bimbang pengguna menuduh kami sengaja mengambil kesempatan pada musim perayaan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Sungai Kuali, Serkat, semalam.


Salim yang terlibat dalam ternakan lembu sejak lima tahun lalu berkata, dia lebih memberi tumpuan kepada jualan untuk ibadah korban berbanding menjual daging lembu terus kepada pengguna.

“Anggaran kasar ketika ini bagi seekor lembu, kos makanan sebulan sebanyak RM120 selain dedak turut diberikan seperti jerami, tahi minyak, isi rong selain upah pekerja,” jelasnya.

Dia yang memiliki sebanyak 120 ekor lembu ketika ini perlu membelanjakan RM12,000 sebulan bagi menampung kos membeli makanan, tidak termasuk ubat-ubatan bagi mengawal penyakit.

Salim juga tidak pasti bila mendapat pulangan semula modal kira-kira RM250,000 yang dilaburkan pada awal menternak haiwan itu.

“Alhamdulillah bagi ibadah korban tahun lalu, kami menyembelih sebanyak 53 ekor lembu yang ditempah oleh pelbagai pihak seperti jawatankuasa masjid dan surau, pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain.

“Walaupun berlaku kenaikan kos makanan, saya masih menawarkan harga sekitar RM5,500 hingga RM6,000 untuk seekor lembu selain kos tambahan sebanyak RM320 bagi penyembelihan dan pembungkusan,” jelasnya.

Sehubungan itu, dia mencadangkan supaya agensi seperti Felda dapat memulakan usaha menghasilkan makanan lembu dengan menggunakan batang dan daun kelapa sawit yang telah diproses.

Katanya, sekiranya negara terus bergantung kepada dedak yang diimport dari luar negara, kemungkinan penternak berskala kecil menutup kandang mereka kerana tidak mampu bertahan.

Selain mempunyai lembu-lembu biasa, Salim juga mempunyai lembu ‘Sado’ dari pelbagai jenis baka seperti Charolais, Limosin, Blonde, Indra 95 dan Blue Beggar yang terkenal dengan bentuk fizikal tegap dan berotot dengan berat mampu mencecah 600 kilogram hingga satu tan metrik.

“Selain bagi tujuan untuk dijual sekiranya ada pembeli, lembu-lembu Sado ini juga untuk menambah baka memandangkan terdapat tiga ekor lembu betina selain baru-baru ini telah menjual seekor lembu Sado dengan harga RM12,000 kepada pembeli yang difahamkan juga untuk dijadikan baka,” katanya. – UTUSAN

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-11-2024 06:33 AM GMT+8 , Processed in 0.079193 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list