GEORGE TOWN: Ibu kepada seorang banduan warganegara Malaysia di Singapura memfailkan permohonan pada saat-saat akhir untuk menghentikan hukuman mati, sementara menunggu pendengaran kesnya terhadap ketua hakim negara republik itu berhubung kemungkinan wujud konflik kepentingan.
Nagaentharan Dharmalingam, 34, dijadualkan dihukum gantung pada Rabu ini. Permohonan yang difailkan ibunya akan didengar esok.
Dalam cubaan saat akhir untuk menghentikan hukuman mati itu, ibunya memfailkan saman itu mendakwa terdapat kemungkinan konflik kepentingan kerana ketua hakim negara adalah peguam negara ketika Nagaentharan didakwa dan disabit bersalah mengedar dadah pada 2011.
Ibunya, Panchalai Supermaniam, 60, akan hadir di Mahkamah Rayuan Singapura esok untuk berhujah kes itu sendiri.
Jurucakap Panchalai berkata, beliau akan mewakili dirinya dan berhujah kes itu tanpa peguam kerana tiada peguam mahu hadir dalam rekod terhadap Ketua Hakim Negara, Sundaresh Menon.
Menon telah menolak beberapa rayuan yang difailkan keluarga itu terhadap hukuman mati berkenaan, menurut laporan berita sebelum ini.
Berdasarkan notis usul yang difailkan hari ini, Panchalai berkata, mahkamah perlu meneliti peranan Menon sebagai peguam negara ketika Nagaentharan didakwa dan disabitkan bersalah. Menon adalah peguam negara antara 2010 dan 2012.
Panchalai berhujah bahawa pertuduhan dan sabitan itu bertentangan jaminan Perlembagaan Singapura mengenai kehidupan dan kebebasan peribadi, serta memohon pengisytiharan bahawa hukuman itu tidak mengikut Perlembagaan.
Nagaenthran menjalani hukuman mati sejak 2010. Dia disabitkan bersalah atas tuduhan menyeludup 42gm heroin ke Singapura.
Dalam perbicaraan, dia diisytiharkan individu yang mengalami kecacatan intelektual dengan IQ 69. Tetapi, mahkamah mendapati dia tidak “cacat dengan ketara” dan dia tahu sepenuhnya sedang melakukan tindakan menyalahi undang-undang, menurut laporan terdahulu.