|
Harga gandum di Afrika naik 60 peratus
https://www.kosmo.com.my/2022/04 ... ka-naik-60-peratus/
Oleh KOSMO!
29 April 2022, 1:00 pm
Perang Rusia-Ukraine telah meningkatkan harga gandum sebanyak 60 peratus di Afrika. – The Guardian
ABUJA, NIGERIA – Presiden Bank Pembangunan Afrika (AfDB), Akinwunmi Adesina memberi amaran bahawa konflik Rusia-Ukraine mengganggu eksport gandum yang mendorong kepada kenaikan harga sebanyak sebanyak 60 peratus di Benua Afrika, lapor akhbar Nation Thailand kelmarin.
Dalam pertemuannya bersama Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari, Adesina berkata, konflik tersebut akan mencetuskan krisis makanan global, terutamanya di Afrika. Benua berkenaan, katanya, mengimport sebahagian besar makanan dari Rusia dan Ukraine.
“Harga gandum telah meningkat kira-kira 60 peratus. Jagung dan bijirin lain akan turut sama terjejas.
“Kita juga mungkin berdepan dengan krisis baja kerana akan berlakunya defisit bahan itu sebanyak dua juta tan metrik. Kekurangan bekalan ini akan menyebabkan penghasilan makanan merosot sekitar 20 peratus.
“Ini seterusnya akan mengakibatkan Afrika mengalami kekurangan makanan berjumlah AS$11 bilion (RM47.9 bilion),” katanya.
Susulan perkembangan membimbangkan itu, Adesina memberitahu bahawa AfDB telah membangunkan Pelan Makanan Kecemasan berjumlah AS$1.5 bilion (RM6.5 bilion) yang masih menunggu kelulusan daripada pengurusan tertinggi bank tersebut.
Menurutnya, AfDB juga merancang membantu golongan petani di Afrika untuk menanam tanaman ruji khususnya gandum, jagung, sorgum padi dan kacang soya menerusi pelan tersebut.
Kata Adesina, pada musim tengkujuh tahun ini, sekurang-kurangnya lima juta pekebun kecil akan dibantu untuk menanam satu juta hektar jagung, satu juta hektar padi dan 250,000 hektar sorgum dan kacang soya setiap satu.
“Secara keseluruhan, sokongan kami dapat membantu Nigeria untuk menghasilkan 9.5 juta tan metrik makanan dan memastikan negara ini tidak merasai impak daripada krisis makanan,” jelasnya. – Agensi
|
|