|
Rakyat Malaysia mula suka makan daging kambing?
Oleh AMREE AHMAD
8 Mei 2022, 2:30 pm
PUTRAJAYA: Meskipun penawaran bekalan agak merosot, namun permintaan ke atas daging kambing semakin melonjak malah berjaya merekodkan angka paling tinggi pada tahun lepas.
Menurut laporan terbaharu Perangkaan Ternakan terbitan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), sepanjang tahun lalu 44,099 tan daging itu telah direkodkan di pasaran seluruh negara.
Angka tersebut menunjukkan lonjakan drastik berbanding hanya 41,693 tan pada 2020 yang turut menokok tinggi daripada 2019 di sebalik isu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Sekadar perbandingan, JPV merekodkan penggunaan daging kambing sebelum kemunculan wabak Covid-19 cuma 35,489 tan pada 2019 lalu, merosot berbanding 40,500 tan pada 2018.
Kali terakhir daging ternakan ini mendapat permintaan amat tinggi ialah sebanyak 43,002 tan pada 2017 berbanding hanya 38,386 tan yang dicatatkan pada 2016 dan 38,477 tan pada 2015.
Ironinya, sebahagian besar daging kambing terpaksa diimport dari luar negara kerana trend pengeluaran hasilan peringkat domestik adalah rendah dengan cuma 3,618 tan pada 2021 lalu.
Ia jelas menunjukkan senario penurunan berbanding 3,916 tan direkodkan JPV pada 2020, 4,200 tan (2019), 4,433 tan (2018), 4,400 tan (2017), 4,991 tan (2016) dan 4,406 tan (2015).
Bahkan agensi itu mencatatkan situasi hampir sama apabila 20,328 ekor kambing disembelih sepanjang 2021 lalu di seluruh negara, bertambah sedikit daripada 20,107 ekor pada 2020.
Namun angka untuk dua tahun itu rendah berbanding 53,433 ekor kambing disembelih pada 2019, 79,735 ekor (2018) dan 64,414 ekor (2017), 64,902 ekor (2016) dan 69,748 ekor (2015).
Dari segi penggunaan perkapita hasilan ternakan pula, secara purata setiap orang penduduk Malaysia telah makan sebanyak 1.3 kilogram daging kambing pada sepanjang tahun lalu. – UTUSAN
sumber: utusan.com.my |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|