GEORGETOWN: Seorang waris terdekat anggota polis yang meninggal dunia dengan tiga kesan tembakan di belakang Balai Polis Bayan Lepas di sini, semalam memberitahu mendiang seperti ada masalah namun tidak menceritakannya kepada sesiapa.
Menurut lelaki itu, mendiang Sarjan Jana Milie, 51, adalah seorang yang tegas tetapi suka bergurau namun beberapa hari lalu dia kelihatan seperti mempunyai masalah.
Katanya, pada hari kejadian, mendiang sempat bertemu dengan anak lelakinya di rumah sebelum ke tempat kerja isteri yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Balik Pulau.
"Mendiang kemudian ke balai polis tempat dia bertugas sebelum ditemukan meninggal dunia dengan kesan tembakan.
"Mendiang juga pernah menyatakan hasrat membawa keluarganya pulang ke Sri Aman, Sarawak pada cuti sekolah ini dan kali terakhir mereka pulang ke kampung ialah pada Disember lalu menyambut Krismas," katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.
Difahamkan mendiang sudah 32 tahun berkhidmat dalam pasukan polis dan ditukarkan ke balai polis berkenaan lebih setahun lalu selepas dinaikkan pangkat.
Sementara itu, tinjauan mendapati isteri dan anak lelaki mendiang serta beberapa ahli keluarga turut berada di perkarangan Unit Forensik HPP sejak jam 9 pagi bagi menuntut mayat.
Difahamkan isteri dan anak bongsu itu tinggal di Pulau Pinang bersama mendiang sejak lebih setahun lalu manakala dua lagi anaknya menetap di Sri Aman.
Usaha menemubual isteri mendiang tidak mendapat kebenaran anggota polis bertugas kerana mereka masih bersedih.
Difahamkan jasad dijangka disemadikan di kampung halamannya di Sri Aman.
Semalam, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata mendiang yang bertugas di balai polis berkenaan ditemukan meninggal dunia dengan
kesan tembakan di leher, dada dan kepala.
Sepucuk pistol turut ditemukan bersama mangsa ketika kejadian.