GEORGETOWN: Kerja-kerja pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas dekat sini akan dimulakan pada tahun ini dengan panggilan tender terbuka untuk projek berkenaan dijangka dilakukan dalam tempoh dua bulan akan datang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata projek yang dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat tahun itu akan dibiayai Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) melalui mekanisme kewangan yang dipersetujui antara Kementerian Kewangan dan pihak MAHB.
"Kerajaan merasakan ada keperluan mendesak membesarkan LTAPP dan MAHB telah diarahkan membiayai pembangunan ini dan MAHB sudah tentu mereka mampu kerana LTAPP adalah lapangan terbang komersial berdaya maju dan menguntungkan.
"Projek ini akan dapat dilaksanakan dalam kadar cepat kerana kita telah bersetuju supaya pembiayaan pembesaran LTAPP akan dibiayai MAHB iaitu tidak memerlukan peruntukan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan.
"Mengenai kos, kita tidak perlu umum dahulu kerana ia dibiayai MAHB dan MAHB akan mengadakan tender terbuka dan kita mahu dapatkan nilai terbaik," katanya kepada pemberita di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.
Loke memaklumkan projek pembesaran itu dapat meningkatkan kapasiti LTAPP sebanyak sekali ganda iaitu daripada 6.5 juta penumpang setahun kepada 12 juta penumpang setahun dengan lapangan terbang ketiga paling sibuk di Malaysia itu pernah merekodkan 8.3 juta penumpang setahun sebelum COVID-19 iaitu pada 2019.
Beliau turut menegaskan, projek pembesaran itu hanya akan melibatkan kawasan sedia ada tanpa membabitkan pengambilan atau tebus guna tanah dan tidak melibatkan tapak-tapak lain misalnya premis seperti sekolah.
Menurutnya, ruang lantai terminal akan dipertingkatkan 100 peratus dengan pelaksanaan konsep reka bentuk konseptual projek itu sudah bermula sejak 2019 namun tertangguh selama dua tahun akibat perubahan kerajaan pada 2020.
"Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memberitahu Kebenaran Merancang masih sah, jadi kita mempercepatkan proses menggunakan reka bentuk pembinaan yang sudah wujud.
"Pembesaran pada masa akan datang bergantung kepada Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang dijangka siap pada suku ketiga tahun ini kita akan maklumkan kepada negeri apa pelan masa depan," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah, Loke berkata, pihaknya sehingga kini belum menerima permohonan Lesen Pengendali Aerodrom (AOL) bagi projek terbabit.
Terdahulu Loke mengadakan lawatan kerja ke Pulau Pinang dengan meninjau LTAPP dan operasi pengangkutan awam di negeri ini selain turut meluangkan masa menaiki feri sebelum pulang ke ibu kota menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS).