Balik Pulau: Polis menahan tiga lelaki termasuk dua orang warga emas bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan membabitkan pelanggan dan penghantar makanan yang berlaku di hadapan sebuah restoran di Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas di sini semalam, yang video kejadian itu turut tular di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata kejadian pergaduhan itu dipercayai berlaku kira-kira 2 petang dan polis menerima laporan berhubung kejadian itu, daripada seorang lelaki berusia 66 tahun, iaitu kira-kira setengah jam selepas insiden itu.
"Menurut lelaki warga emas itu, pergaduhan tersebut membabitkan dia dan rakannya berusia 68 tahun dengan seorang penghantar makanan di hadapan restoran tersebut, kejadian terbabit menyebabkan mereka mengalami kecederaan di kepala serta badan," katanya dalam kenyataan malam ini.
Jafri berkata pihaknya turut menerima laporan polis daripada penghantar makanan itu pada 9 malam tadi dan polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.
Beliau berkata susulan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki berusia 44 hingga 68 tahun bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut 324 Kanun Keseksaan.
"Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes itu, sehingga boleh menjejaskan siasatan polis," katanya.