CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3227|Reply: 0

[Pahang] 'Saya ikhlas lepaskan isteri pulang ke negeri abadi'

[Copy link]
Post time 2-11-2023 10:38 AM | Show all posts |Read mode

GAMBAR kenangan Mohd Ridzuan dan dua anak bersama arwah isteri, Nor Adilah. FOTO ihsan Mohd Ridzuan Azman

Jerantut: Pemergian isteri tersayang di saat anak masih kecil bukan saja memberi kesan mendalam buat lelaki ini, malah ia turut dirasai dua anak lelaki mereka terutama bayi yang baru berusia lapan bulan.

Muhammad Harraz Mateen mengalami demam sejak ibunya, Allahyarham Nor Adilah Othman, 32, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jerantut, di sini, pada 23 Oktober lalu namun bayi itu sudah kembali sihat sejak Jumaat lalu.

Kisah hiba itu dikongsikan Mohd Ridzuan Azman, 34, di TikTok yang menceritakan anak bongsunya yang mesra disapa Harraz demam kerana merindukan belaian seorang biarpun dia hanya sempat disusui wanita itu selama tiga bulan saja.

Seorang lagi anak pasangan berkenaan, Muhammad Adib Irfan yang kini berusia empat tahun.

Mohd Ridzuan berkata, isterinya, Nor Adilah meninggal dunia kerana masalah jantung berlubang dan jangkitan kuman pada organ berkenaan yang mana wanita itu hanya mengetahui ada lubang pada jantungnya selepas melahirkan anak bongsu.

"Kami hanya tahu isteri ada masalah jantung berlubang pada Jun lalu iaitu selepas empat bulan melahirkan Harraz kerana kakinya membengkak tetapi sebelum ini tidak tahu arwah ada masalah itu kerana tidak pernah ada simptom cuma dia kerap penat tetapi tidak terlalu serius.

"Kami difahamkan lubang di jantungnya semakin membesar dan mungkin masalah itu sudah dialami sejak kecil. Keadaan isteri semakin serius awal bulan lalu dan hilang selera makan sebelum doktor memaklumkan jantungnya turut dijangkiti kuman," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pekebun itu berkata, dia sempat membawa anak mereka ke hospital untuk melawat Nor Adilah, namun hanya berada di luar wad kerana kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ke dalam wad dan mereka hanya 'bersapa' di tepi tingkap saja.

Katanya, isteri kesayangannya juga ada meminta untuk pulang ke rumah mereka kira-kira jam 10 pagi pada 23 Oktober sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 3.40 petang hari sama.

"Hari sama juga Harraz demam dan dia biasanya jika demam hanya dua hingga tiga saja tetapi kali ini agak lama sehingga lima hari, manakala anak sulung pula selalu mengigau dalam tidur memanggil ibunya.

"Mungkin kerana terlalu merindui ibunya anak sulung yang tidak pernah mahu 'berkawan' dengan kembar seiras ibunya juga mahu dilayani ibu saudaranya itu biarpun dia sebelum ini dapat membezakan mana satu ibunya," katanya.

Katanya, hakikat kehilangan insan tersayang, malah ketika dua anak masih kecil dan memerlukan perhatian serta kasih sayang seorang ibu memang sukar tetapi demi amanat isteri dia menguatkan semangat meneruskan kehidupan dengan baik

"Arwah selalu pesan suruh jaga anak dengan baik dan tidak beri anak kepada orang lain tetapi biarpun tanpa pesanan itu memang saya akan menjaga anak kami kerana mereka adalah kenangan dan tanda kasih kami.

"Ramai yang mahu menjaga anak terutama yang bongsu tetapi saya tidak mahu berpisah dengan dua anak kami biarpun saya faham niat mereka mahu membantu tetapi biarlah kami bertiga kekal bersama biarpun ibu mereka sudah tiada.

"Saya ikhlas melepaskan isteri pulang ke negeri abadi dan semua kenangan kami termasuk menyambut hari ulang tahun perkahwinan di hospital dengan sepotong kek pada 13 Oktober lalu akan terus terpahat di ingatan," katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok, dia tidak menyangka video itu akan mendapat perhatian sehingga meruntun hati netizen, malah dia berterima kasih dengan semangat dan doa diberikan untuk mereka sekeluarga terutama buat isterinya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... ang-ke-negeri-abadi

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-5-2024 01:24 AM GMT+8 , Processed in 0.222281 second(s), 31 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list