|
IKHWAN berazam membantu Negeri Sembilan bersaing hebat dalam Liga M musim ini. -FOTO Ihsan NSFC.
Seremban: Pernah mencipta sensasi selepas bantuan golnya dalam aksi Liga Super antara Kelantan FC dengan Kuala Lumpur City FC (KL City) pada musim lalu mendapat pujian pemain tengah Manchester City, Kevin de Bruyne.
Itu antara kelebihan yang dimiliki pemain tengah baharu Negeri Sembilan FC (NSFC), Ikhwan Yazek, yang hampir pasti menjadi sandaran utama buat skuad Hobin Jang Hobin bagi menghadapi kancah saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025, yang akan membuka tirainya tidak sampai sebulan lagi.
Selepas lebih sebulan bersama pasukan baharunya itu, bekas pemain Kelantan berusia 23 tahun ini jelas begitu bersemangat tinggi untuk memulakan cabaran bersama Negeri Sembilan dalam misi menjulang nama pasukan berkenaan musim ini.
"Pada musim lalu, saya tidak dapat beraksi seperti dirancang gara-gara mengalami kecederaan medial collateral ligament (MCL) pada awal musim membuatkan saya hanya dapat beraksi dalam lima penampilan.
"Pernah terlintas di fikiran kecederaan itu mungkin penamat dalam kerjaya sebagai pemain bola sepak tetapi dengan rahmat Allah, Alhamdulillah, masalah kecederaan dialami itu telah pulih sejak Julai tahun lalu.
"Kini, saya berada pada tahap prestasi yang baik untuk memulakan musim baharu bersama Negeri Sembilan dengan harapan ia menjadi detik kebangkitan saya dalam saingan liga tempatan berprestij ini," katanya.
Terdahulu De Bruyne, 31, yang sudah empat kali menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) mengakui jaringan yang dilakukan Ikhwan itu cukup menakjubkan, sekali gus mengatasi tiga lagi calon lain bantuan gol dari pemain Terengganu FC, Habib Haroon; pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Fernando Forestieri dan Wan Zack Haiqal dari Perak FC.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... yerlah-bersama-nsfc |
|