CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 39234|Reply: 0

[Kedah] Pusara waris hanya timbul ketika kemarau empat tahun sekali

[Copy link]
Post time 18-8-2024 11:27 AM | Show all posts |Read mode
Pusara waris hanya timbul ketika kemarau empat tahun sekali


Oleh Noorazura Abdul Rahman - Ogos 18, 2024 @ 11:07am [email protected]







Antara penduduk yang menziarahi pusara nenek moyang mereka di tanah perkuburan Kampung Mong Gajah, Empangan Pedu yang timbul kembali akibat musim kemarau. NSTP/Noorazura Abdul Rahman





KUALA NERANG: Kira-kira 300 penduduk di sini mengambil peluang mengadakan kenduri dan majlis tahlil berhampiran kubur lama di Kampung Mong Gajah, Empangan Pedu semalam, bagi mendoakan ahli keluarga serta nenek moyang mereka yang bersemadi di situ.

Majlis itu diadakan susulan tanah perkuburan dipercayai berusia lebih 100 tahun itu timbul sejak awal bulan ini akibat kemarau berpanjangan.

Penduduk, Ismail Md Daud, 62, berkata mereka berpeluang mengadakan kenduri dan majlis tahlil di situ berikutan kampung terbabit hanya akan menjadi daratan empat tahun sekali.

"Apabila kami rancang untuk adakan majlis tahlil dan kenduri, ramai penduduk yang mengambil kesempatan untuk menaja makanan.



Penduduk yang hadir menikmati pelbagai hidangan yang disediakan secara gotong royong


"Sejak petang kelmarin, kami sudah memasang khemah dan yang bertugas sebagai tukang masak akan tidur di sini, antara menunya adalah 10 ekor kambing yang dimasak kurma dan rendang, 30 kilogram (kg) daging lembu (gulai), 40 kg ikan lampam jawa (goreng), kerabu beka serta ulam-ulaman," katanya.

Ismail berkata, biarpun gembira dapat berkumpul dengan sanak saudara, hatinya tetap berasa sayu mengenangkan arwah datuknya yang disemadikan di perkuburan itu.

"Bapa saya, Md Daud Hassan, 90, pernah tinggal di Kampung Kuala berhampiran Kampung Mong Gajah. Kampung Kuala tidak pernah timbul sejak ditenggelamkan untuk projek empangan, bapa saya berpindah dari Kampung Kuala pada tahun 1955 kerana mendakwa berlaku banyak kematian akibat penyakit misteri.

"Sehingga sekarang, kawasan ini (Empangan Pedu) menjadi tempat kami mencari rezeki, saya tidak terasa asing di sini, semoga majlis tahlil ini mendapat berkat dan pahala dihadiahkan kepada mereka yang sudah pergi," katanya yang kini tinggal di Kampung Pinang di sini.

Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid, yang turut menyertai majlis itu, berkata ada kira-kira 15 kampung yang ditenggelamkan untuk memberi laluan kepada projek Empangan Pedu pada 1960-an dan ia dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman.

Katanya, penduduk kampung itu mempunyai sejarah tersendiri kerana difahamkan mereka membuka kampung itu untuk menyelamatkan diri daripada serangan Siam pada 1821 iaitu ketika mula tercetusnya Perang Musuh Bisik.

"Kita berdoa semoga mereka yang disemadikan di sini selamat dan sejahtera, selain itu kita juga berdoa semoga kawasan ini kembali dilimpahi air untuk disalurkan bagi kegunaan domestik, pertanian dan industri di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kawasan perkuburan itu tidak dipindahkan sebelum ini berikutan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah serta Jabatan Mufti melihat tiada keperluan berbuat demikian kerana usia perkuburan itu sangat lama.

Bagaimanapun katanya Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) membina pagar di kawasan perkuburan seluas 0.3 hektar itu pada 2006 bagi memastikan ia terpelihara terutama semasa air tasik kering.

Sementara itu, imam Kampung Tong Pelu, di sini Mohamad Khori Idris, 58, berharap pihak berkuasa tempatan dapat menurap jalan masuk ke Kampung Mong Gajah untuk kemudahan penduduk mencari rezeki dan beriadah di situ.

Katanya, kawasan itu sudah menjadi tarikan pengunjung dari pelbagai negeri kerana mereka mahu menyaksikan sendiri keindahan kawasan empangan yang kering.

"Pada majlis ini juga kami menjemput saudara mara yang berhijrah ke negeri lain termasuk dari Batu Kurau, Perak. Mereka sangat teruja datang ke sini.

"Disamping itu ada ramai yang datang dan berkhemah di sini untuk lihat kerdipan bintang di langit selain ada yang memancing.

"Penduduk pula mencari hasil hutan seperti madu dan ada yang menjadi nelayan darat, jalan sekarang berlopak, berlumpur dan licin ketika hujan, bahaya untuk motosikal dan kereta, sekiranya Ia diturap saya yakin ramai lagi yang berminat untuk datang ke sini," katanya.

Sehingga hari ini, takungan Empangan Pedu berada pada tahap 33.21 peratus, manakala Empangan Muda 7.80 peratus dan Empangan Ahning 78.50 peratus dengan jumlah keseluruhan takungan empangan 38.85 peratus.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/08/1286504/pusara-waris-hanya-timbul-ketika-kemarau-empat-tahun-sekali








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-11-2024 11:52 PM GMT+8 , Processed in 0.071360 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list