Nelayan Kuala Chenang rayu segerakan pembinaan benteng pemecah ombak tambahan
Oleh Hamzah Osman - Ogos 26, 2024 @ 10:41am [email protected]
Roslan menunjukkan jeti pontoon terapung di Kompleks LKIM Kuala Chenang, Langkawi yang rosak dan mengundang bahaya kepada nelayan. - Foto HAMZAH OSMAN
LANGKAWI: Seramai 300 nelayan di pangkalan Kuala Chenang di sini, merayu kerajaan menyegerakan benteng pemecah ombak tambahan bagi menyelesaikan isu bot mereka kerap rosak ketika musim tengkujuh.
Difahamkan, kumpulan nelayan terbabit sudah memaklumkan masalah itu kepada pemimpin setempat dan pihak berkuasa secara bertulis, tetapi masih tiada tindakan diambil sejak enam tahun lalu.
Mereka mendakwa peruntukan RM3.2 juta bagi membina benteng tambahan sejauh 100 meter itu diluluskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2018, namun pembinaannya gagal dilaksana sehingga kini.
Pengerusi myKomuniti Perikanan (myKP) Kuala Chenang, Ahmad Mahzan Ariffin, berkata benteng sedia ada kurang berkesan untuk menghalang ombak kuat daripada masuk ke jeti pontoon terapung yang digunakan nelayan.
"Kerajaan perlu mempercepatkan pembinaan benteng pemecah ombak tambahan sejauh 100 meter iaitu sambungan kepada benteng sedia ada yang tertangguh bagi mengelak bot ditambat di sini rosak pada musim tengkujuh.
"Tanpa benteng tambahan itu, nelayan terpaksa membawa bot masuk ke alur sungai kecil berhampiran untuk berlindung, tapi berdepan pula masalah air pasang surut dan banyak lumpur," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Meluahkan perasaan sama, Timbalan Pengerusi myKP Kuala Chenang, Roslan Ghazali, berkata nelayan pantai di situ yang bekerja 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' memang tertekan jika bot sering rosak.
"Sehingga sekarang, sekurang-kurangnya enam bot nelayan yang ditambat di jeti pontoon terapung di sini mengalami kerosakan teruk termasuk dihanyut air dan dipukul ombak kuat setiap kali dilanda cuaca buruk.
"Selain itu beberapa aksesori di jeti pontoon terapung ini juga banyak rosak termasuk tiga tiang konkrit patah dan tercabut serta skru pengikat terungkai, sekali gus mengundang risiko kepada nelayan," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud berkata, beliau turut menerima aduan nelayan kawasan itu dan bersimpati dengan masalah bot mereka kerap rosak akibat ombak kuat.
"Bagaimanapun, isu yang dibangkitkan nelayan itu (kelewatan pembinaan benteng pemecah ombak tambahan) di bawah tanggung jawab agensi kerajaan Persekutuan iaitu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
"Saya sudah membangkitkan (perkara itu) di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bersidang ketika ini bagi mendapat maklum balas isu dibangkitkan nelayan itu dari pihak berkaitan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1290093/nelayan-kuala-chenang-rayu-segerakan-pembinaan-benteng-pemecah-ombak
|